Thursday, November 24, 2011

USAHA ITNM TERBITKAN SIRI SASTERA BAHASA ARAB BANTU PROGRAM J-QAF


 
PUTRAJAYA 24 Jan (Bernama) -- Usaha Institut Terjemahan Negara Malaysia
Bhd (ITNM) menerbitkan siri sastera kanak-kanak dan remaja tempatan dalam
bahasa Arab dapat membantu memperkasakan pendidikan agama termasuk
menjayakan program j-QAF, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein.
    Beliau berkata usaha ITNM itu dapat menambah bahan bacaan program j-QAF
(Program Jawi, Khatam AlQuran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain) dan membantu
guru berkongsi pengalaman dan kemahiran untuk aktiviti penterjemahan bahan
bacaan.
    "Langkah ITNM itu boleh menyumbangkan kepada usaha memperkasakan
pendidikan agama dan memartabatkan kerjaya perguruan melalui pendekatan
baru dan pengantarabangsaan dan perkongsian tulen dengan institusi
pendidikan di luar negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan
buku siri sastera kanak-kanak dan remaja (bahasa Arab) dan siri pendidikan
terbitan ITNM di sini hari ini.
    Siri sastera itu meliputi 21 buah buku terjemahan cerita-cerita rakyat
seperti Bawang Putih Bawang Merah, Hang Tuah, Nakhoda Tanggang dan Raja
Bersiung. Turut dilancarkan ialah karya 16 buah buku siri penerbitan
pembangunan profesional perguruan dan kepimpinan serta pengurusan sekolah
yang diterjemahkan dalam bahasa Malaysia.
    Hishammuddin berkata pakej pendidkan seperti program j-QAF dapat
dikongsi dengan rakan-rakan dari negara luar dan yang terkini Oman berminat
terhadap program itu.
    Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata Kementerian Pelajaran
bercadang mengabadikan nama tokoh pendidik, Allahyarham Tan Sri Murad
Mohamed Noor pada Institut Pendidikan Islam, yang diumumkan penubuhannya
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dua tahun lalu.
    Pengabadian nama itu sebagai mengiktiraf sumbangan Allahyarham terhadap
usaha memartabatkan pendidikan Islam dan sekolah agama melalui Jawatankuasa
Khas Mengenai Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dipengerusikannya.
    "Kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham kerana
semasa hayatnya, beliau tidak lokek berkongsi pengalaman membabitkan
program Jawi, AlQuran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dan pembelaan SAR
termasuk di negeri-negeri yang sekarang sebahagian besarnya sudah berdaftar
dengan kementerian," katanya.
    Murad, bekas Ketua Pengarah Pendidikan dari 1976 hingga 1985 dengan
jawatan terakhirnya sebagai Pengerusi Majlis Universiti Pendidikan Sultan
Idris, meninggal dunia pada Selasa malam akibat jangkitan paru-paru.
    Hasil daripada jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Murad,
sebanyak 119 buah sekolah agama rakyat berdaftar dengan kementerian,
melibatkan 32,254 pelajar dan 1,498 guru manakala 135 buah sekolah lagi
dalam proses untuk didaftarkan.
    -- BERNAMA
    TNS TNS HS

No comments:

Post a Comment