Saturday, November 26, 2011

Kelas bahasa Arab seluruh Johor disokong




MUAR 10 Mei _ Semua pihak menyokong penuh langkah kerajaan Johor 
mewujudkan kelas-kelas bahasa Arab di seluruh negeri ini mulai Julai ini 
sebagai lanjutan program membudayakan al-Quran yang dilancarkan dua 
tahun lalu.

Mereka menyifatkan program tersebut amat bertepatan dengan usaha 
mengembalikan umat Islam supaya celik kepada bahasa alQuran yang 
membolehkan mereka memahami isi kandungan kitab suci itu.

``Dengan mempelajari bahasa Arab, pelajar-pelajar secara automatik boleh 
membaca al-Quran dan membina sahsiah mereka dengan baik,'' kata seorang 
penceramah bebas, Ahmad Tunggal kepada Utusan di sini petang ini.

Guru pakar Sekolah Agama Kebangsaan (Maahad) Muar di Jalan Joned di sini 
berkata demikian sebagai mengulas pengumuman program tersebut oleh 
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman semalam.

Berterusan

Beliau juga berpendapat, jika ia dapat dilaksanakan secara berterusan dan 
berkesinambungan, ia akan turut mengembalikan minat orang ramai kepada 
tulisan jawi di negeri ini.

``Sekarang ini banyak pelajar tidak berapa menaruh minat terhadap tulisan 
jawi. Ini sekali gus menjadikan mereka sukar membaca al-Quran dan 
menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan anasir luar.

``Justeru, mereka perlu diajar menguasai bahasa Arab, bahasa al-Quran yang 
boleh menjadi benteng kukuh kepada pengaruh yang cuba menggugat akidah 
umat Islam,'' tambah Ahmad.

Sementara itu, Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda UMNO Johor, 
Saipolbahri Shuib juga sependapat dengan beliau bahawa pengajaran bahasa 
Arab itu wajar dilaksanakan untuk mendidik generasi muda supaya memahami 

bahasa al-Quran.

Dengan kemahiran berbahasa Arab katanya, sekali gus mereka akan dapat 
memahami kandungan ayat-ayat suci al-Quran dan apabila ini berlaku, mereka 
tidak mudah terpesong kepada pihak tertentu yang cuba 
mempengaruhi mereka dengan menggunakan ayat.

Beliau berharap, agar program ini dapat dilaksanakan seiring dengan program 
membudayakan al-Quran di semua tempat termasuk masjid, surau dan 
pejabat-pejabat kerajaan serta swasta.

Saipolbahri yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Bakri di sini 
menyeru kepada golongan muda masa kini supaya mengambil peluang 
mempelajari bahasa tersebut untuk membantu meningkatkan pemahaman 
mereka terhadap kandungan al-Quran. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment