Friday, November 25, 2011

Ibu bapa sokong bahasa Arab di sekolah




KENYATAAN Pemangku Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
mengenai hasrat kerajaan hendak mewajibkan pengajian bahasa Arab kepada
semua pelajar Islam di sekolah rendah dan menengah adalah langkah kedua
selepas kerajaan mewajibkan tulisan jawi sebagai pelajaran yang akan diuji
dalam peperiksaan mulai tahun depan.
  Hal ini menarik perhatian ramai ibu bapa yang mahukan anak mereka
mendapat pengetahuan bahasa Arab dan membolehkan anak itu mendalami agama
bersumberkan bahasa al-Quran.
  Sebenarnya pelajaran tulisan jawi amat rapat dengan bahasa Arab kerana
kemahiran menulis jawi dengan sendirinya dapat membantu pelajar menulis
bahasa Arab. Sungguh pun bahasa Melayu berbeza dengan bahasa Arab, tetapi
abjad jawi seperti yang diketahui masyarakat umum berasaskan abjad Arab.
  Oleh kerana peminggiran pelajaran jawi di sekolah sejak merdeka,
generasi muda kini melalui satu era tidak celik jawi, sehingga untuk
menulis doa yang pendek dalam bahasa Arab pun tidak boleh.
  Penggantungan mereka hanya kepada sekolah agama kerajaan negeri atau
sekolah agama rakyat semata-mata. Tanpa bantuan dari sekolah berkenaan,
mereka tergolong dalam kelompok generasi buta jawi.
  Hal ini diakui sendiri Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo
dalam satu bengkel tulisan jawi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak
lama dulu.
  Dengan menjadikan tulisan jawi sebagai sebahagian daripada perkara yang
dinilai dalam subjek Pendidikan Islam, ternyata tulisan jawi mula
dipulihkan walaupun dalam ruang lingkup yang amat terbatas, berbanding
dengan kedudukannya sebelum itu dalam subjek Bahasa Melayu.
  Kemungkinan Pendidikan Islam menjadi subjek wajib lulus kepada pelajar
Islam adalah suatu perkara yang perlu. Dengan demikian, secara teratur,
tulisan jawi ikut terangkat sebagai pelajaran wajib lulus.
  Sebenarnya tidak ada jalan lain untuk memperkukuhkan tulisan jawi di
kalangan generasi muda Melayu-Islam, selain menjadikannya sebagai
sebahagian daripada subjek wajib lulus.
                                 (END) Source : Berita Minggu

No comments:

Post a Comment