Friday, November 25, 2011

Bahasa Arab: Perak pilih 56 sekolah




IPOH, Isnin - Jabatan Pendidikan Perak memilih 56 sekolah rendah di negeri
ini untuk melaksanakan pembelajaran bahasa Arab di kalangan murid tahun
satu mulai sesi persekolahan tahun depan.
  Ketua Unit Pendidikan Islam dan Moral jabatan itu, Mohamad Taib, berkata
antara enam dan 10 sekolah akan dipilih bagi setiap daerah untuk
melaksanakan projek itu.
  Sehubungan itu, menurutnya, jabatan mengarahkan guru yang mengajar mata
pelajaran berkenaan mempraktikkan komunikasi dengan murid menggunakan
bahasa Arab bagi membiasakan mereka.
  "Apabila semua kelas bahasa Arab di sekolah berkenaan berjalan lancar,
lebih banyak sekolah membuka kelas seumpama itu.
  "Buat masa ini Unit Pendidikan Islam dan Moral memilih 56 sekolah rendah
sebagai percubaan," katanya kepada Berita Harian, di sini.
  Beliau berkata, sebagai permulaan sesi pelajaran bahasa Arab itu
dilaksanakan 30 minit dan akan diadakan empat kali seminggu.
  Mohamad meminta guru besar memastikan mata pelajaran itu dimasukkan
dalam jadual waktu harian kelas tahun satu bagi melicinkan perjalanannya.
  Selain itu, katanya, sekolah boleh menggunakan budi bicara mengambil
masa 30 minit dari slot waktu pilihan guru besar atau dari waktu mata
pelajaran lain atau menambahkan waktu 30 minit selama empat hari.
  Selain itu, Mohamad berkata, sebanyak sembilan sekolah termasuk Sekolah
Rendah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit menunjukkan pencapaian cemerlang
program pembelajaran bahasa Arab melalui projek percubaan bermula awal
tahun ini.
  Lebih membanggakan, katanya, sekumpulan 10 murid sekolah itu kerap
dijemput untuk mengadakan demontrasi kebolehan mereka bertutur bahasa
Arab.
                               (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment