Thursday, November 24, 2011

BAHASA ARAB HENDAKLAH DIWAJIBKAN KEPADA PENUNTUT ISLAM




 
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bahasa Arab patut diwajibkan kepada
pelajar Islam di samping bahasa Melayu dan Inggeris sebagai cara mengatasi
masalah sosial yang melanda umat Islam di negara ini, Dewan Rakyat
diberitahu hari ini.
   Hajah Ilani Ishak (BN-Kota Baharu) berkata ini ialah kerana ajaran
agama Islam yang suci hanya akan dihayati dengan mendalam dengan memahami
bahasa Arab.
   Ketika membahaskan Belanjawan 1997, beliau berkata lebih 70 peratus kes
kekalutan sosial seperti penyakit AIDS, bohsia dan penderaan membabitkan
orang Islam sedangkan orang Islam merupakan hanya 51 penduduk negara.
   "Ini sangat memalukan, dan dengan peruntukan hampir RM1 bilion untuk
mengembangkan syiar Islam dalam 1997 sebahagiannya patut digunakan untuk
mengajar bahasa Arab supaya penghayatan terhadap Islam lebih mendalam
lagi," katanya.
   Ilani berkata generasi Islam yang akan datang patut dapat menguasai
bahasa Melayu, Inggeris dan Arab dan penguasaan ketiga-tiga bahasa ini akan
memberikan kelebihan kepada mereka 
   Tan Kok Wai (DAP-Cheras) pula mencadangkan supaya Badan Pencegah Rasuah
(BPR) dikeluarkan daripada Jabatan Perdana Menteri dan menjadi agensi yang
bertanggungjawab terus kepada Parlimen.
   Ini ialah untuk menghapuskan gejala rasuah yang melanda negara ini yang
membimbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sehingga
bercakap panjang lebar mengenainya dalam Perhimpunan Agung UMNO lepas.
   "Dengan menjadi sebuah badan yang bebas, BPR akan menjadi badan yang
lebih efisien mencegah rasuah dan tidak perlu mengikut telunjuk sesiapa
atau tidak akan berlaku sebarang 'cover-up' kes rasuah," katanya.
   Jimmy Donald (BN-Sri Aman) pula mencadangkan supaya projek-projek
infrastruktur di pedalaman Sarawak diswastakan kerana kawasan itu masih
mundur dan masih ramai rakyat tidak menikmati kemudahan itu.
   "Projek itu kebanyakannya diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR)
dan saya lihat JKR Sarawak tidak begitu berupaya melaksananya mengikut
jadual dan akibatnya rakyat terus menderita," katanya.
   Chang See Tan (BN-Gelang Patah) berkata perusahaan kecil luar bandar
perlu dimodenkan bagi membebaskan penduduknya daripada belenggu kemiskinan.
   "Di tengah-tengah keghairahan warga korporat tempatan mengalirkan wang
pelaburan ke China, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Afrika, mereka juga
harus digalakkan melabur di luar bandar untuk memajukan kampung sendiri,"
katanya.
   Chang berkata pembangunan luar bandar tidak seharusnya sekadar menjadi
agenda politik menjelang pilihan raya tetapi ia sebenarnya satu cabaran
terhadap nilai kemanusiaan dan keadilan sosial yang perlu ditangani dengan
bijak dan bersungguh-sungguh.
   Beliau juga menyentuih mengenai alam sekitar, dengan berkata
penyelidikan kitar semula harus diperluaskan bagi meliputi barang buangan
seperti plastik, tin, aluminium dan bukan setakat kertas saja.
   Chang berharap kerajaan akan membantu sektor swasta melakukan
penyelidikan dan pembangunan bahan buangan.
   Sukinam Damo (BN-Batang Sadong) meminta kerajaan supaya tegas dalam
pelaksanaan pembangunan dan memastikan setiap pembangunan dijalankan dengan
cekap serta melibatkan kawasan luar bandar.
   Katanya tidak wajar untuk melihat hanya kawasan bandar dan pinggir
bandar saja yang mengalami kepesatan pembangunan sedangkan banyak isu yang
membabitkan prasarana, bekalan air, jalan raya serta kemudahan asas sekolah
dan klinik kesihatan di luar bandar masih belum diselesaikan.
   Sukinam juga berkata penubuhan sekolah bestari tidak seharusnya
ditumpukan di kawasan bandar saja kerana masyarakat luar bandar juga layak
menikmati kemudahan itu .
   Katanya kekurangan guru terlatih dan guru siswazah di kawasan luar
bandar mestilah diberikan perhatian dan usaha mengatasi masalah itu
hendaklah dilaksanakan dengan segera.
   Dr Maximus Ongkili (PBS-Bandau) berkata langkah kerajaan untuk
memperkenalkan standard ISO 9000 di semua peringkat sektor awam adalah baik
dan mestilah dilaksanakan dengan memastikan prestasi perkhidmatan asas
ditingkatkan terlebih dahulu. 
   Beliau meminta kerajaan supaya memastikan projek ekonomi, pembangunan
dan sosial menekankan prinsip keadilan dengan membabitkan masyarakat luar
bandar.
   Dr G. Leelavathi (BN-Kapar) meminta kerajaan supaya mengadakan
pembelaan yang sewajarnya terhadap kaum India di negara ini bagi
membolehkan masyarakat itu maju seiring kaum lain.
   Katanya masalah keciciran dalam pelajaran dan gejala sosial seperti
hubungan dan ikatan perkahwinan antara wanita India tempatan dan lelaki
Bangladesh yang melanda masyarakat India semakin membimbangkan.
   Beliau berkata hubungan dengan warga Bangladesh sama ada secara
sukarela, dipaksa mahupun diperdaya bukan lagi menjadi masalah individu
tetapi telah menjadi masalah sosial yang merosakkan masa depan wanita India
dan menjejaskan institusi keluarga. 
   Ahmad Kamaruzaman Mohamed Baria (BN-Jerantut) dan Hashim Ismail
(BN-Ledang) pula menyentuh soal keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda
yang, menurut mereka, jika tidak diatasi akan membawa kehancuran kepada
negara.
   Ahmad Kamaruzaman berkata ada kumpulan lumba motosikal di sesetengah
negeri menawarkan hadiah wanita kepada pemenang perlumbaan itu.
   "Perbuatan ini sangat jelek dan menggambarkan betapa rendahnya akhlak
golongan muda. Usaha yang radikal diperlukan untuk membawa generasi muda
kembali ke landasan yang betul," katanya.
   Hashim pula berkata kegilaan belia Melayu kepada hiburan jangka pendek
menyebabkan mereka ketinggalan dalam banyak aspek terutama pendidikan
berbanding belia kaum lain.
   Hanya sebilangan kecil pelajar Melayu mendapat ijazah kelas pertama di
universiti-universiti tempatan kerana mereka suka hiburan yang bentuk
mudah, tidak gemar membaca dan mendengar majlis ilmu dan agama. 
   Mohamed Khaled Nordin (BN-Johor Bahru) pula mencadangkan sebuah badan
bebas ditubuhkan bagi mengkaji sebab pelajar Melayu lemah dalam pelajaran.
   Sekolah-sekolah yang gagal mencapai mencatat keputusan membanggakan
dalam peperiksaan utama juga harus dikaji.
   Beliau mendakwa sebelum ini Kementerian Pendidikan hanya menyoal secara
umum mengapa pelajar atau sesebuah sekolah itu tidak mencapai keputusan
baik dalam peperiksaan utama.
   Beliau turut mencadangkan supaya pusat sains diwujudkan di setiap
negeri dan tidak hanya bertumpu di ibu kota sahaja.
   Ini bagi menimbulkan minat pelajar untuk mengetahui lebih dekat
mengenai perkembangan dalam bidang sains.
   Persidangan Dewan disambung esok. --BERNAMA
   MT NZ NAK

No comments:

Post a Comment