Thursday, November 24, 2011

KELAS BAHASA ARAB DI SELURUH JOHOR




 
MUAR, 9 Mei (Bernama) -- Kelas bahasa Arab akan diperluaskan ke seluruh
Johor mulai Julai ini bagi membolehkan lebih ramai penduduk negeri itu
menguasainya, kata Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.
    Langkah itu juga lanjutan daripada program membudayakan Al-Quran yang
dilancarkan dua tahun lepas, katanya kepada pemberita selepas merasmikan
kem bahasa Inggeris anjuran Umno Bahagian Ledang di sini hari ini.
    Sebanyak 240 pelajar dari tujuh sekolah menengah di kawasan Parlimen
Ledang menyertai kem tiga hari itu.
    Abdul Ghani berkata kerajaan negeri telah meminta Jabatan Agama Islam
Johor untuk menyusun program kelas bahasa Arab.
    Katanya, pengajaran bahasa itu akan dilaksanakan dalam bentuk kelas
dewasa di semua jabatan kerajaan, sektor swasta serta di masjid dan surau.
    "Saya berharap kelas bahasa Arab ini akan dapat mempertingkatkan
kefahaman masyarakat Islam mengenai ajaran Islam dan hukum hakam Allah yang
terkandung dalam Al-Quran," katanya.
    Beliau juga berkata Johor tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan
guru pakar dalam bahasa Arab kerana ia mempunyai banyak guru berkebolehan
mengajar bahasa itu.
    Mengenai bahasa Inggeris, Abdul Ghani menyarankan agar setiap pelajar
memupuk minat mendalam terhadap penguasaan bahasa itu yang bukan sahaja
boleh membantu mereka dalam bidang kerjaya bahkan dalam pelbagai bidang
ilmu.
    -- BERNAMA
    SO MAI

No comments:

Post a Comment