Thursday, November 24, 2011

Kementerian dalam proses latih guru Bahasa Arab




KEMENTERIAN Pendidikan kini dalam proses menyediakan guru terlatih bagi
memenuhi keperluan pengajaran Bahasa Arab Komunikasi yang diperkenalkan
sebagai mata pelajaran bahasa tambahan di sekolah kebangsaan, mulai tahun
lalu.
  Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat, berkata antara
langkah diambil ialah pengambilan tenaga pengajar menerusi Kursus
Perguruan Lepasan Ijazah bagi memastikan pelaksanaan baru itu berjalan
lancar dan berkesan.
  Selain itu, beliau berkata, keperluan guru bagi mengajar bahasa tambahan
itu juga ditampung melalui program Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan dan
Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah yang akan dilaksanakan.
  Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pendidikan meminta kerjasama guru
mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada yang memiliki kemahiran Bahasa
Arab membantu menjayakan pelaksanaan itu sementara usaha menyediakan
tenaga pengajar terlatih mengajar bahasa itu dijalankan.
  Dalam konteks ini, beliau menegaskan, guru Pendidikan Islam terbabit
tidak akan memikul bebanan tugas sehingga melebihi had masa pengajaran
ditetapkan.
  "Bagaimanapun, tenaga pengajar yang dilatih itu tidak akan hanya
mengajar Bahasa Arab Komunikasi tetapi juga mata pelajaran Pendidikan
Islam secara keseluruhan. Apabila bilangan guru berkenaan semakin ramai,
tidak akan timbul masalah bebanan tugas berlebihan," katanya kepada Berita
Harian.
  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar baru-baru
ini yang memetik kenyataan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (KPPK), Ismail Nihat, bahawa kemampuan dan keberkesanan guru
Pendidikan Islam mengajar Bahasa Arab Komunikasi dikhuatiri semakin
terbatas berikutan peningkatan bilangan pelajar mengambil mata pelajaran
bahasa tambahan itu.
  Ismail berkata, guru terbabit terpaksa memikul beban tugas berlebihan
mengajar dua mata pelajaran berikutan Kementerian Pendidikan belum
memperuntukkan sebarang kuota guru untuk mengajar subjek pilihan baru itu.
  Katanya, masalah itu perlu diberi perhatian serius, terutama kebanyakan
sekolah kurang murid hanya ada seorang guru mata pelajaran Pendidikan
Islam yang padat dengan jadual pengajaran tahun satu hingga enam, sekali
gus menyukarkan mereka memikul tanggungjawab mengajar Bahasa Arab
Komunikasi.
  Mengulas lanjut, Abdul Rafie berkata: "Kementerian maklum pandangan KPPK
dan sudah menyusun perancangan untuk mempertingkatkan bilangan guru
diperlukan dari semasa ke semasa."
                                (END)  Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment