Friday, November 25, 2011

Johor wujud kelas Bahasa Arab di masjid




MUAR, Rabu - Kerajaan Johor akan mewujudkan kelas Bahasa Arab di masjid
seluruh negeri ini dalam usaha meningkatkan kefahaman umat Islam terhadap
kandungan al-Quran.
  Sebagai permulaan, 87 guru Bahasa Arab sudah dilantik oleh Jabatan Agama
Johor (JAJ) yang akan mengendalikan kelas berkenaan membabitkan 87 masjid
seluruh negeri mulai awal tahun depan.
  Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata program itu adalah
lanjutan terhadap usaha membudayakan al-Quran yang dimulakan oleh Kerajaan
Johor sejak 1995.
  Katanya, menerusi pengetahuan Bahasa Arab, umat Islam di negeri ini akan
lebih memahami kandungan al-Quran dan boleh merujuk kepada kitab itu untuk
mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah.
  "Sejak dimulakan kira-kira lima tahun lalu, program membudayakan al-
Quran di Johor kini sudah mencakupi semua masjid, 80 peratus surau dan 90
peratus pejabat kerajaan.
  "Ketika ini, kira-kira 30,000 peserta menyertai program terbabit secara
berterusan. Selain itu, kerajaan negeri juga sedang mewujudkan perguruan
al-Quran dengan melantik qari dan qariah bagi mengendalikan kelas
pengajian itu.
  "Menerusi kelas pengajian itu, ketika ini, kira-kira 20,000 peserta
sedang mengikuti pengajian untuk meningkatkan dan membaiki tahap bacaan
al-Quran masing-masing," katanya.
  Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian bantuan
untuk anak yatim dan fakir miskin kawasan Dewan Undangan Negeri Tangkak di
sini, malam tadi.
  Abdul Ghani berkata, program membudayakan al-Quran di Johor yang
dimulakan secara berperingkat kini berjalan secara merata tetapi masih
memerlukan usaha untuk mendalaminya supaya lebih tersusun.
  Katanya, kerajaan berharap umat Islam di Johor akan dapat merujuk dan
berpegang teguh kepada al-Quran ketika ada pihak cuba menggunakan agama
Islam demi kepentingan tertentu.
  Menurutnya, menerusi pendekatan itu, ianya dapat membantu membentuk
sebuah kerajaan yang adil, kukuh serta stabil bagi meneruskan usaha
membela semua lapisan rakyat di negeri ini.
                                (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment