Thursday, November 24, 2011

Ejaan kata serapan dari bahasa Arab




KEBELAKANGAN ini, kebanyakan perkataan yang diambil dari bahasa Arab
     mengalami salah eja yang teruk di pelbagai tempat kesan daripada
     kurangnya pengetahuan bahasa Arab di kalangan orang Melayu. Hal ini
     termasuklah ejaan nama yang diambil daripada bahasa Arab seperti Nurul
     Huda atau Saiful Bahri, Khadijah atau Abdul Ghani dan lain-lain.
       Dalam dua peristiwa di mana ibu bapa dan guru yang kurang mengerti
     bahasa Arab, nama Nurul Huda dan Saiful Bahri masing-masing dieja
     nun-wau-ra-wau-lam Ha-wau-dal-alif; sin-alif-ya-fa-wau-lam ba-Ha-ra-ya.
       Sebaik meningkat ke sekolah menengah, ejaan itu telah diperbetul guru
     agama yang mahir bahasa Arab menyebabkan dua pelajar itu menolak ejaan
     namanya yang baru diperkenalkan setelah enam tahun menggunanya di sekolah
     rendah. Masalah berpunca daripada mengikut kaedah ejaan lazim atau
     berasaskan ejaan rumi.
       Sebenarnya tulisan rumi tidak dapat diguna dengan tepat untuk mengeja
     kata Arab. Di Johor fatwa telah dikeluarkan mufti negeri itu mengharamkan
     tulisan rumi dalam menulis ayat al-Quran lebih setengah abad lalu.
       Kesalahan yang berlaku di papan nama jalan dan taman di Johor Bahru dan
     Pontian umpamanya ialah menjawikan tulisan rumi dengan kaedah yang salah.
     Perkataan Al-Atas, Mohamadiah, Al-Sagof dan Makmur seharusnya dieja
     mengikut kaedah Arab, bukan kaedah rumi atau ejaan lazim dalam bahasa
     Melayu.
       Nama Al-Atas bukan perkataan 'atas' yang ditambah 'al-' tetapi ialah
     kata Arab yang dieja dengan huruf ain dan tho. Demikian pula perkataan
     Mohamadiah, jika dieja mengikut kaedah ejaan lazim bahasa Melayu atau
     ejaan rumi dijadikan rujukan: mim-Ha-alif-mim-alif-dal-ya-alif-Ha,
     pastilah salah. Perkataan Al-Sagof dieja alif-lam-sin-alif-ga-wau-fa, dan
     makmur dieja mim-kaf-mim-wau-ra adalah tidak betul.
       Kerajaan Johor sendiri menolak ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka yang
     mengejakan nama negeri itu sebagai Johor Darul Takzim. Perkataan takzim
     yang menggunakan huruf k tidak melambangkan bunyi sebenar dalam ejaan
     jawi atau ejaan bahasa Arab.
       Malah perkataan Johor yang disenaraikan dalam buku Daftar Kata Bahasa
     Melayu, 2001, DBP dengan jim-wau-Ha-wau-ra, tidak dapat diterima dan
     tidak wujud dalam ejaan rasmi kerajaan negeri itu. 
       Perkataan johor yang dieja menggunakan huruf wau pada suku kata kedua
     adalah nama sejenis tumbuhan bernama lemak ketam, pada hal Johor itu
     diambil daripada bahasa Arab yang bermaksud permata (jauhar) seperti mana
     nama negeri itu yang pernah dipanggil sebagai Ganggayu atau Kelangkiu
     dalam bahasa Siam bermakna Perbendaharaan Permata.
                                   (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment