Friday, November 25, 2011

UPSI sedia tawar bahasa Arab, Mandarin, Tamil





UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedia menawarkan pengajian
bahasa Arab, Mandarin dan Tamil sebagai kursus elektif selaras perancangan
Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
komunikasi ketiga-tiga bahasa berkenaan di sekolah, mulai tahun depan.
  Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Mohammad Noor Salleh, berkata
kursus berkenaan akan ditawarkan menerusi Pusat Bahasa Moden yang baru
ditubuhkan di bawah Fakulti Bahasa bagi melahirkan guru berkemahiran dalam
pelbagai bahasa.
  Setakat ini, beliau berkata, rangka kursus bahasa Arab sudah pun dibuat,
malah tenaga pengajarnya juga dikenal pasti dan pengajian itu akan
ditawarkan pada bila-bila masa saja.
  Bagaimanapun pada peringkat permulaan, katanya, pengajian bahasa
terbabit hanya akan ditawarkan sebagai kursus elektif untuk memberi
kemahiran tambahan kepada pelajar UPSI, bukan program yang menganugerahkan
ijazah sarjana muda pendidikan.
  Ketika ini melalui Fakulti Bahasa, beliau berkata, UPSI menawarkan
program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (dengan kepujian) dalam bidang
Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai
Bahasa Kedua (Tesl).
  "Saya percaya dan yakin apabila kursus bahasa Arab, Tamil serta Mandarin
ditawarkan nanti, ramai pelajar UPSI akan mengambil kesempatan untuk
menguasai kemahiran tiga bahasa itu.
  "Tambahan pula, ketiga-tiga bahasa itu digunakan secara meluas di negara
ini. Selain Arab, Mandarin dan Tamil, pihak universiti juga merancang
untuk menawarkan kursus bahasa asing seperti Jepun, Jerman, Perancis dan
Sepanyol, juga melalui Pusat Bahasa Moden," katanya.
  Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari
Pengasasan Universiti sempena sambutan 80 tahun Sultan Idris Training
College (SITC) - UPSI oleh Pemangku Raja Perak, Dr Raja Nazrin Shah, di
Tanjung Malim, semalam.
  Beliau mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Timbalan Menteri
Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, sebagai berkata Kementerian
Pendidikan sudah mengenal pasti sekolah kebangsaan di seluruh negara yang
akan menawarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab komunikasi, bahasa
Mandarin komunikasi dan bahasa Tamil komunikasi kepada pelajar bermula
tahun depan.
  Abdul Aziz berkata, kira-kira 900 sekolah rendah kebangsaan akan
mengajar bahasa Arab komunikasi, 277 bahasa Tamil komunikasi dan 280 lagi
bahasa Cina komunikasi.
                               (END)  Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment