Saturday, November 26, 2011

Kelas komputer bahasa Arab




TAIPING, Rabu - Umno bahagian Taiping akan mengadakan kelas komputer
bahasa Arab untuk ahlinya yang berminat menambah pengetahuan dan kemahiran
bahasa itu.
  Ketuanya, Datuk Dr Abdul Malek Mohd Hanafiah, berkata buat permulaan
lima komputer akan disewa dan ketua cawangan diberi keutamaan menyertai
kelas itu.
  Menurutnya, pengetahuan di bidang komputer penting bagi memastikan orang
Melayu tidak ketinggalan untuk menguasai pelbagai ilmu pengetahuan,
terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT).
  "Sejajar arus pembangunan negara yang begitu pantas dan mencapai taraf
negara maju kita tidak seharusnya memencilkan diri daripada mempelajari
peralatan canggih dan menguasai ilmu penting itu," katanya di sini.
  Ahli parti dinasihat mempelajari pelbagai peralatan canggih termasuk
mengetahui ilmu pengetahuan komputer.
                               (END) Source : Berita Harian

Rancangan bahasa Arab menarik kerana Nur Afni




Saudara Pengarang,

SAYA merupakan antara ribuan peminat yang meminati rancangan bahasa 
Arab di TV1 yang ke udara pada setiap hari Khamis pukul 6.30 petang.

Saya mengucapkan tahniah kepada penerbitnya yang berjaya menghasilkan 
rancangan yang bercorak ilmiah itu. Saya juga ingin mengucapkan tahniah 
kepada para pelakonnya yang sangat fasih berbahasa Arab.

Tapi ingin saya katakan di sini, bahawa rancangan itu mempunyai satu tarikan 
penting iaitu salah seorang pelajarnya yang menarik. 

Tidak dapat dinafikan bahawa dia merupakan salah seorang pelakon yang 
dapat melariskan lagi rancangan itu. Dari awal rancangan lagi saya sangat 
meminati gadis yang bernama Nur Afni.

Wajahnya yang jelita membuatkan dia menjadi rebutan di kalangan rakan-
rakan saya di sekolah. Masakan tidak, setiap kali datang sekolah pada hari 
Jumaat kami akan berbicara tentangnya. Pakaian yang dipakai, wajahnya 
cantik atau tidak, dan bermacam-macam lagi.

Namun yang pasti, dia selalu menjadi fokus utama jurukamera.

Soalan

Saya juga ingin memaklumkan di sini, bahawa Nur Afni mempunyai wajah 
yang seiras Erra Fazira, ini diakui oleh rakan-rakan saya apabila kami 
membandingkan wajahnya dengan wajah Erra Fazira ketika memakai tudung 
(hendak pergi umrah). 

Tetapi kami berasa terkilan, kerana sejak kebelakangan ini, wajahnya jarang 
kami lihat di televisyen, kalau adapun dia tidak langsung bangun untuk 
menjawab atau menanyakan soalan. Adakah penerbit telah melupakan 
jasanya yang melariskan rancangan itu. Saya harap dia diberi pelaung lagi 
supaya bangun bertanyakan soalan.

Sekurang-kurangnya kami dapat menatap wajahnya secara dekat. Pada 
pandangan kami, Afni mempunyai daya tarikan tersendiri.

Jika dia diberi peluang menjadi celeberiti pasti dia akan menjadi terkenal 
sebaris dengan Siti Nurhaliza kerana dia dapat menarik peminatnya yang 
tersendiri. 

Saya tahu tentang ini kerana rakan saya yang berada di sekolah yang sama 
dengannya menyatakan yang dia punya ramai peminat di SMKGS. Jadi saya 
harap peluang untuknya muncul di kaca TV lebih besar. _ PEMINAT MISTERI, 
Kepong.

                    (Source : Utusan Malaysia)

Kelas bahasa Arab seluruh Johor disokong




MUAR 10 Mei _ Semua pihak menyokong penuh langkah kerajaan Johor 
mewujudkan kelas-kelas bahasa Arab di seluruh negeri ini mulai Julai ini 
sebagai lanjutan program membudayakan al-Quran yang dilancarkan dua 
tahun lalu.

Mereka menyifatkan program tersebut amat bertepatan dengan usaha 
mengembalikan umat Islam supaya celik kepada bahasa alQuran yang 
membolehkan mereka memahami isi kandungan kitab suci itu.

``Dengan mempelajari bahasa Arab, pelajar-pelajar secara automatik boleh 
membaca al-Quran dan membina sahsiah mereka dengan baik,'' kata seorang 
penceramah bebas, Ahmad Tunggal kepada Utusan di sini petang ini.

Guru pakar Sekolah Agama Kebangsaan (Maahad) Muar di Jalan Joned di sini 
berkata demikian sebagai mengulas pengumuman program tersebut oleh 
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman semalam.

Berterusan

Beliau juga berpendapat, jika ia dapat dilaksanakan secara berterusan dan 
berkesinambungan, ia akan turut mengembalikan minat orang ramai kepada 
tulisan jawi di negeri ini.

``Sekarang ini banyak pelajar tidak berapa menaruh minat terhadap tulisan 
jawi. Ini sekali gus menjadikan mereka sukar membaca al-Quran dan 
menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan anasir luar.

``Justeru, mereka perlu diajar menguasai bahasa Arab, bahasa al-Quran yang 
boleh menjadi benteng kukuh kepada pengaruh yang cuba menggugat akidah 
umat Islam,'' tambah Ahmad.

Sementara itu, Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda UMNO Johor, 
Saipolbahri Shuib juga sependapat dengan beliau bahawa pengajaran bahasa 
Arab itu wajar dilaksanakan untuk mendidik generasi muda supaya memahami 

bahasa al-Quran.

Dengan kemahiran berbahasa Arab katanya, sekali gus mereka akan dapat 
memahami kandungan ayat-ayat suci al-Quran dan apabila ini berlaku, mereka 
tidak mudah terpesong kepada pihak tertentu yang cuba 
mempengaruhi mereka dengan menggunakan ayat.

Beliau berharap, agar program ini dapat dilaksanakan seiring dengan program 
membudayakan al-Quran di semua tempat termasuk masjid, surau dan 
pejabat-pejabat kerajaan serta swasta.

Saipolbahri yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Bakri di sini 
menyeru kepada golongan muda masa kini supaya mengambil peluang 
mempelajari bahasa tersebut untuk membantu meningkatkan pemahaman 
mereka terhadap kandungan al-Quran. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

Kelas bahasa Arab wujud Julai





MUAR 9 Mei _ Kerajaan Johor akan mewujudkan kelas bahasa Arab di seluruh 
negeri mulai Julai ini sebagai satu lagi usaha lanjutan program membudayakan 
al-Quran yang dilancarkan dua tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman memberitahu, beliau telah pun 
meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Johor (JAIJ) untuk menyusun pelan 
pelaksanaan program tersebut.

Katanya, pengajaran bahasa itu akan dilaksanakan dalam bentuk `kelas-kelas 
dewasa' di jabatan-jabatan kerajaan, swasta, masjid dan surau di peringkat 
daerah serta mukim.

``Program ini dirancang supaya kita dapat membangunkan kemudahan 
mempelajari bahasa Arab secara menyeluruh dan berterusan kepada 
masyarakat Islam,'' ujarnya kepada para pemberita selepas merasmikan kem 
bahawa Inggeris di Sekolah Menengah Parit Bunga, di sini.

Kem tersebut adalah anjuran bersama Biro Pendidikan UMNO bahagian 
Ledang, Briged Komuniti Mukim Kesang dan sekolah menengah tersebut.

Sebanyak 240 orang pelajar dari tujuh buah sekolah menengah dan sebuah 
sekolah kebangsaan di kawasan Parlimen Ledang menyertai kem tiga hari itu.

Abdul Ghani berpendapat, oleh kerana bahasa Arab adalah bahasa al-Quran, 
adalah amat tepat sekali ia dijadikan sebagai fasa seterusnya program 
membudayakan al-Quran.

Mengenai tenaga pengajar, Menteri Besar ia tidak menjadi masalah kerana 
Johor mempunyai banyak guru yang boleh mengajar bahasa Arab dengan 
berkesan di semua peringkat.

                    (Source : Utusan Malaysia)