Thursday, November 24, 2011

Pendekatan mudah kuasai bahasa Arab, tulisan jawi




Judul buku: Pintar Arab (Bacaan) Pintar Arab (Latihan) 

Penulis: Rokiah Ahmad dan Nurdiana Abu Chik 

Judul: Bijak Jawi (Bacaan), Bijak Jawi (Latihan) 

Penulis: Fauziah Osman dan Ahmad Izani Muhammad Suffian 

Harga: RM9, RM10.50, RM4.50 dan RM8 

Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 

Tahun: 2004 

Pengulas: NORAINI ABDUL RAZAK 

PROJEK rintis j-QAF telah dimulakan oleh kerajaan di 30 buah sekolah 
Kementerian Pelajaran bermula April hingga Julai tahun ini.

J-QAF secara ringkasnya bermaksud memperkukuhkan penguasaan jawi, 
memastikan murid-murid khatam al-Quran di sekolah rendah, mewajibkan 
pelajaran bahasa Arab dan memantapkan amalan dan penghayatan fardu 
ain.

Model dan aktiviti j-QAF antaranya termasuk kelas pemulihan jawi, model 
pengukuhan jawi, model tasmik, dan model integrasi. 

Turut diperkenalkan ialah model perluasan bahasa Arab komunikasi.

Program tersebut akan diperluaskan ke seluruh negara tahun ini selepas 
kementerian mengatasi masalah-masalah yang timbul.

Sudah pasti niat murni kerajaan untuk melahirkan warganegara yang 
menghayati ajaran Islam sebenar mendapat sambutan memberangsangkan 
di kalangan rakyat beragama Islam di negara ini.

Pelbagai usaha akan menyusul bagi menyokong usaha kerajaan ini 
termasuk di kalangan para penerbit buku yang pastinya bersungguh-
sungguh menerbitkan buku-buku yang boleh membantu murid-murid 
menambah ilmu.

Utusan Publications & Distributors (UP&D) dengan kerjasama Persatuan 
Perpustakaan Sekolah-Sekolah Melaka (Pustakom) telah menerbitkan buku 
tambahan bacaan bahasa Arab dan jawi untuk para pelajar tahun satu.

Walaupun bukan teks rasmi tetapi kedua-dua buku ini boleh dijadikan 
sebagai bahan memperkayakan bacaan bagi latihan jawi dan Arab dalam 
subjek j-QAF.

Ia sangat berguna dan sesuai untuk membantu murid-murid tahun satu 
menambah dan memperkayakan kemahiran tulisan jawi dan bahasa Arab.

Kedua-dua buku ini dapat membimbing murid-murid untuk lebih fasih dan 
mahir menggunakan tulisan jawi dan berbahasa Arab. Apabila kedua-dua 
kemahiran ini dapat dikuasai oleh murid-murid di peringkat rendah lagi maka 
tidak akan timbul lagi untuk mereka membaca al-Quran sambil memahami 
makna setiap ayat yang diturunkan.

Buku ini juga amat sesuai untuk guru-guru sebagai buku tambahan untuk 
tujuan mengajar dan juga ibu bapa sendiri untuk tujuan yang sama.

Pihak penerbit juga menyarankan agar pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru 
(PIBG) sekolah mengambil inisiatif berbincang mengadakan program yang 
sesuai bagi menambah kemahiran para pelajar bagi menguasai kedua-dua 
bahasa tersebut.

Penerbitan kedua-dua buku ini juga adalah sebagai menyahut seruan 
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyarankan 
agar diterbitkan buku-buku tambahan belajar bagi menanam minat murid-
murid untuk mempelajari bahasa Arab dan menguasai tulisan jawi.

Buku Pintar Arab dan Bijak Jawi ini diterbitkan bersekali dengan buku latihan 
bagi memudahkan murid-murid membuat latihan sebaik selesai sesuatu 
topik.

Oleh kerana ada kalangan murid-murid tahun satu yang masih di peringkat 
mengenal huruf maka penulis kedua-dua buku ini menggunakan pendekatan 
mudah yang bersesuaian dengan keupayaan mereka.

Misalnya beberapa helaian awal buku latihan Pintar Arab membimbing 
murid-murid kaedah asas penulisan huruf jawi yang seperti kita semua sedia 
maklum mempunyai lenggok tertentu berbanding tulisan rumi.

Murid-murid kemudian diperkenalkan dengan beberapa perkataan ringkas 
yang digunakan setiap hari dan dilengkapi dengan gambar bagi memberi 
gambaran yang tepat kepada para pelajar.

Pendekatan yang digunakan oleh penulis tertumpu kepada penjelasan 
menerusi gambar yang sememangnya lebih mudah difahami oleh murid-
murid dan menjadi kaedah pengajaran serta pembelajaran yang berkesan.

Buku ini turut dilengkapi dengan kamus bahasa Melayu ke bahasa Arab 
yang boleh dijadikan panduan oleh guru-guru, ibu bapa dan murid-murid. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment