Friday, November 25, 2011

Asia Barat minta teks ucapan PM diterjemah ke bahasa Arab




KUALA LUMPUR 6 Feb. _ Beberapa pihak di Asia Barat meminta supaya 
teks ucapan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa Forum Ekonomi 
Dunia (WEF) di New York, Amerika Syarikat, 3 Februari lalu diterjemahkan 
ke bahasa Arab.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid 
Othman berkata, mereka juga mahu supaya proses alih bahasa dibuat 
sendiri oleh orang Malaysia bagi memastikan tidak berlaku sebarang 
kesilapan terjemahan.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan membuat terjemahan itu 
dengan segera untuk diedarkan ke negara-negara Asia Barat dalam bentuk 
risalah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berdialog selama tiga 
jam dengan kakitangan Institut Pengurusan Kesihatan (IPK), di sini hari ini.

Menurut Dr. Abdul Hamid, beberapa syarikat penerbitan di rantau tersebut 
juga telah menyatakan minat untuk menyiarkan teks ucapan Dr. Mahathir 
dalam akhbar dan majalah keluaran mereka.

Ucapan Perdana Menteri bertajuk `Peranan Islam Dalam Negara Moden' 
mendedahkan mengenai masalah besar yang dihadapi oleh kerajaan Islam 
kerana penyelewengan agama oleh ulama politik dan kemunculan kumpulan 
yang menentang pembangunan.

Menurut Dr. Mahathir, ulama politik terbabit telah menyelewengkan agama 
bagi memperoleh kuasa manakala kumpulan menentang pembangunan pula 
cenderung mengisytiharkan jihad secara kekerasan terhadap kerajaan 
Islam.

Mengenai kemungkinan UMNO dan Pas bekerjasama bagi menghadapi 
golongan militan Islam, Abdul Hamid yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO 
berkata, perkara tersebut boleh dilakukan sekiranya parti pembangkang 
berkenaan membuang tabiat mereka yang suka meletakkan pelbagai syarat. 

Perpaduan

Pada awal tahun lalu, pertemuan perpaduan Melayu antara pemimpin 
UMNO dan Pas terpaksa dibatalkan setelah parti pembangkang tersebut 
meletakkan syarat supaya Harakah dibenarkan terbit dua kali seminggu dan 
bayaran royalti minyak disalur terus kepada kerajaan Terengganu.

Abdul Hamid menjelaskan, hubungan tidak mesra antara kedua-dua parti 
juga berpunca daripada sikap pemimpin Pas yang membuat pelbagai 
tuduhan tidak benar terhadap UMNO termasuk kononnya kerajaan menolak 
hukum hudud.

``Kita menerima hudud, tetapi tidak melaksanakan pada masa ini kerana 
bimbang berlaku tunjuk perasaan seperti di Sudan dan Pakistan yang 
dianjurkan oleh beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan 
pelaksanaannya.

``Kita berpendapat, pelaksanaan hukum hudud harus meliputi semua kaum 
kerana adalah tidak adil jika orang Islam sahaja dipotong tangan manakala 
kaum lain hanya dipenjarakan,'' tegasnya.

Sementara itu, semasa majlis dialog dengan kakitangan IPK, Abdul Hamid 
mendedahkan mengenai sikap segelintir kakitangan kerajaan yang masuk 
bekerja lewat selepas rehat tengah hari dengan alasan perlu mengikuti 
kuliah agama di surau.

``Perkara ini berlaku kerana salah faham kakitangan terbabit yang 
berpendapat urusan Islam hanya melibatkan syarahan serta pidato agama 
dan tidak ada kaitan dengan kerja,'' jelasnya.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment