Thursday, November 24, 2011

Mahir bahasa Arab aset berharga petugas di OIC




Sidang Pertubuhan Kemuncak Ke-10 Persidangan Islam (OIC) 
Pusat Konvensyen Putrajaya 11 - 18 Oktober 
Ilmu Pengetahuan Dan Akhlak Asas Kemajuan Ummah 

Putrajaya Malaysia 2003 

PUTRAJAYA 14 Okt. _ Kebolehan bertutur dalam bahasa asing terutama 
Arab adalah aset paling berharga di kalangan petugas memberi sumbangan 
kepada kelicinan perjalanan Sidang Kemuncak ke-10 Pertubuhan 
Persidangan Islam (OIC).

Beberapa jurubahasa dan penterjemah yang ditemui Utusan Malaysia di 
Pusat Konvensyen Putrajaya (PCC) di sini hari ini berkata, mereka 
berbangga kerana dapat menggunakan kelebihan itu untuk memudahkan 
perhubungan komunikasi pihak yang terlibat dalam persidangan itu.

Seorang penterjemah unit audio visual agensi berita tempatan, Mohamad 
Ibrahim, 31, berkata, tugas yang dipikul memerlukan tumpuan penuh bagi 
memastikan kenyataan-kenyataan diterima dan disampaikan dengan tepat 
serta pantas.

"Kebanyakan delegasi berasa senang dengan para penterjemah dari 
Malaysia kerana masyarakat antarabangsa khususnya dunia Arab sudah 
kenal negara kita ini memang banyak penterjemah yang berkaliber,'' katanya 
yang fasih berbahasa Arab.

Mohamad yang dilahir dan dibesarkan di Mekah, berkata, berdasarkan 
pengalamannya, warga asing lebih gemar disapa atau ditanya menggunakan 
bahasa ibunda berbanding bahasa lain.

Prestij

Rakannya, Kamarul Azmi Ahmad, 27, berkata, kesempatan terlibat dalam 
persidangan itu membolehkan beliau mempraktikkan kebolehan bertutur 
dalam bahasa Arab.

Katanya, beliau berbangga kemahiran berbahasa itu digunakan di majlis-
majlis berprestij bertaraf antarabangsa yang suaranya didengar oleh 
masyarakat sedunia.

"Kebiasaannya tugas saya membabitkan ucapan-ucapan pemimpin tertinggi 
mengenai pandangan sesebuah negara dan dasar-dasar yang amat 
penting,'' katanya.

Jurubahasa, Muhamad Khairi Abdullah, 26, pula berkata, kerjaya tersebut 
amat mencabar dan menarik kerana berpeluang untuk berinteraksi dengan 
pelbagai lapisan manusia.

Katanya, tanggungjawab itu menyemaikan sikap untuk membantu sesama 
insan dengan cara cuba memberi pemahaman dengan menggunakan 
bahasa yang difahami.

"Di sini kita boleh bercakap dengan banyak warga negara seperti dari negara 
Arab, Timur Tengah. Tetapi kebanyakan petugas muda dari luar negara 
mengetahui bahasa Inggeris cuma yang agak berusia kebiasaannya hanya 
tahu bahasa sendiri,'' katanya yang mahir dalam bahasa Inggeris dan Arab.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment