Friday, November 25, 2011

Buku mengenai PM dalam bahasa Arab dilancar Oktober




KUALA LUMPUR 1 Feb. _ Sebuah buku dalam bahasa Arab bertajuk Dr. 
Mahathir Dari Kacamata Orang Arab dan Orang Islam' tulisan seorang 
penulis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dilancarkan di sini 
Oktober depan.

Duta Malaysia ke UAE, Datuk Syed Hussein Abdul Kadir Al Habshee 
berkata, buku yang ditulis oleh Dr. Abdul Rahim Abdul Wahid yang mula 
dirangka dua bulan lalu dijangka siap pada September ini.

``Kita bercadang melancar buku itu sempena Pertubuhan Persidangan 
Negara-negara Islam (OIC) yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 
Oktober nanti,'' katanya pada sidang akhbar di Hotel Pan Pacific di 
sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil penulisan wartawan kanan dan berpengalaman itu 
kemudian akan diterjemahkan ke bahasa Melayu awal tahun depan dan 
disusuli dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Beliau memberitahu, buku tersebut akan dibahagikan kepada beberapa 
tajuk menarik antaranya Malaysia di bawah Kepimpinan Dr. Mahathir, 
Hubungan Ekonomi Dengan Negara Arab, Sokongan Politik Kepada Isu-isu 
Agama, Sokongan Kepada Negara-negara Islam, Islam dan Ummah dan 
Teori Dalam Ekonomi Islam.

``Dr. Abdul Rahim juga akan menemubual beberapa orang pemimpin dunia 
terutama dari Asia Barat untuk mendapatkan pandangan mereka tentang 
Perdana Menteri Malaysia itu,'' tambah beliau.

Sementara itu, Abdul Rahim memberitahu, buku itu ditulis berdasarkan 
pengalamannya yang berulang-alik ke Malaysia sejak empat tahun lalu.

Beliau memberitahu, ketika kali pertama mengunjungi Malaysia untuk 
bercuti, beliau sudah merasa kagum melihat pembangunan sosio-ekonomi 
negara di bawah kepimpinan Dr. Mahathir.

``Ketika itu kami mula terasa, kami di Asia Barat ketiadaan pemimpin 
seperti Dr. Mahathir yang mengambil berat tentang rakyatnya serta 
masalah dunia Islam.

``Beliau begitu terkenal dan berani memperjuangkan hak-hak Islam dan 
lantang menyuarakan kepada dunia bahawa Islam bukan pengganas,'' 
katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahim yang telah menulis sembilan buah buku 
ingin menulis tentang Dr. Mahathir sebagai panduan dan dijadikan 
contoh kepada pemimpin-pemimpin dunia Islam.

Buku tersebut akan ditaja oleh seorang usahawan, Datuk Yahya A. Jalil.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment