Thursday, November 24, 2011

Vince belajar bahasa Arab demi album baru




BAGAIKAN sebuah perjalanan yang sedang ditempuhi, Janji Vince muncul
     sebagai hadiah kedua daripada Juara Akademi Fantasia (AF) musim pertama,
     Vincent Chong, kepada semua peminatnya.
       Album yang muncul pada Bulan Kemerdekaan itu sungguh bermakna kerana ia
     memuatkan 16 lagu pelbagai rentak nyanyian beliau untuk memenuhi selera
     pendengar pelbagai kaum.
       Album itu juga membuktikan Vince semakin diminati peminat Melayu dan
     terus merapatkan lagi hubungan muhibah yang sedia terjalin di kalangan
     pendengar tempatan.
       Tambah seronok, majlis pradengar album Vince di Poppy Passion, Kuala
     Lumpur, baru-baru ini berubah menjadi sesi jamming antara penyanyi itu
     dengan artis undangan yang turut menjayakan albumnya.
       Antara mereka ialah V.E dengan lagu Andai Ia Tahu serta Yasin Sulaiman
     dan Brothers yang menyanyikan lagu Berkobar-kobar. Tidak ketinggalan juga
     suara peminat kecil yang turut mencantikkan lagi lagu Harapan. Nyata
     kematangan Vince terserlah menerusi album kedua ini selepas dikenali
     dengan lagu Mengapa Harus Cinta.
       "Kalau anda masih ingat, saya lebih suka guna suara falsetto dalam
     album pertama dulu. Kali ini berbeza kerana saya cuba memaksimumkan vocal
     range saya sama ada tinggi atau rendah. Elemen pop R&B masih menjadi
     pilihan kerana itulah forte (kekuatan) saya," jelasnya yang kelihatan
     lebih susut sejak kebelakangan ini.
       Hakikatnya, bukan mudah untuk menerbitkan album baru jika tidak kena
     dengan gaya perancangannya. Hati serta keinginan banyak pihak perlu
     dipenuhi dengan sebaik mungkin. Pastinya kelebihan ilmu muzik Vince
     banyak membantu terutama dalam mencari keseimbangan dalam pemilihan
     komposer dan melodi yang sesuai.
       "Saya sebenarnya tidak mahu dilabel sebagai penyanyi lagu urban
     semata-mata kerana keupayaan saya sebenarnya lebih dari itu. Atas dasar
     itu juga, dengan ihsan FMC, saya dapat berduet dengan Siti Nordiana
     (Nana) membawakan lagu Kerna Apa Kau Begitu ciptaan LY dan lirik tulisan
     Baiduri.
       "Saya berbangga kerana gandingan kami mampu lari dari stigma yang
     sering diberikan kepada artis Melayu seperti Nana yang dikatakan berimej
     kampung. Itu tidak benar," tegas Vince.
       Ditanya tahap keyakinannya dalam membawakan lagu Melayu serta keupayaan
     menghafal lirik, Vince menjelaskan insiden ketika terpaksa menulis lirik
     lagu Berkobar-kobar di atas tapak tangan ketika menjayakan persembahan
     selingan Konsert Akhir AF3 di Stadium Melawati, ada 6 Ogos lalu, bukan
     disengajakan.
       "Persediaan untuk persembahan itu memang dibuat pada saat-saat
     terakhir. Susunan muziknya juga berubah dan barisan lirik yang saya tidak
     ingat itu adalah bahagian yang sepatutnya dinyanyikan oleh Yasin.
       "Kelam kabut juga, kebetulan saya baru saja pulang dari Brunei. Jadi
     mahu tak mahu, saya terpaksa menulis lirik itu di tapak tangan!" jelasnya
     mengakui insiden itu sebagai pengajaran kepada penyanyi baru sepertinya.
       Secara peribadi, Vince cukup menggemari lagu Cinta Cinta Cinta yang
     diberikan sentuhan retro serta single pertama album ini iaitu
     Berkobar-kobar ciptaan Yasin. Katanya, album yang diedarkan EMI Malaysia
     itu memberikan lebih kepuasan kerana ia dibuat dengan berhati-hati sambil
     mengkaji kelemahan yang timbul menerusi album pertama.
       INFO MENARIK
       1. Lagu Kau Tetap Di Hati pernah dibawakan Farish dengan judul berbeza
     iaitu Haruskah Diuji.
       2. Kau Tetap Di Hati dimasukkan dalam album Janji Vince atas permintaan
     ahli keluarga Vince sendiri yang cukup meminati popular artis Taiwan itu.
     Pencipta asal lagu ini ialah Steve Chou Zhuan Xiong.
       3. Vince turut belajar satu perkataan Arab dalam lagu ciptaan Yasin
     iaitu Taala.
       4. Kerana terlalu gemarkan vokal harmoni, anggota VE dijemput sebagai
     penampilan istimewa. Lagu Andai Ia Tahu adalah ciptaan Lah.
                                   (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment