Friday, November 25, 2011

Buku Dr M dalam bahasa Arab




KUALA LUMPUR, Selasa - Kerana kagum dengan kejayaan Datuk Seri Dr Mahathir
Mohamad membawa negara mengharungi kegawatan ekonomi serantau, seorang
wartawan kanan dari Arab Saudi menterjemahkan buku hasil nukilan Perdana
Menteri, A New Deal For Asia, dalam bahasa Arab.
  Ketua Pengarang Saudi Research & Publishing Co, Farouk Luqman, berkata
buku itu amat menarik kerana menceritakan kisah sebenar kegawatan ekonomi
di Asia, berdasarkan pengalaman seseorang yang `berada di tengah-tengah
krisis itu'.
  Beliau tertarik dengan kandungan buku itu kerana ia jelas menggariskan
langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah berkenaan tanpa bantuan
pihak luar.
  "Krisis ekonomi di Asia boleh berlaku di mana jua termasuk di negara
Arab. Kerana itu, saya berpendapat buku berkenaan adalah panduan terbaik
bagi mengharungi cabaran getir terbabit," katanya dalam satu pertemuan di
sini.
  A New Deal for Asia diterbitkan oleh Penerbitan Pelanduk tahun lalu.
Buku setebal 155 halaman itu mengandungi tujuh bab, sebahagian besarnya
menyentuh masalah kegawatan ekonomi di Asia dan usaha mengatasinya.
  Bab-bab berkenaan ialah: `An Asian View of the World', `Asia's Road to
Prosperity', `Who Spoiled the Asia Dream', (Siapa yang Memusnahkan Mimpi
Asia), `Asian View in a Turbulent World' (Pandangan Asia Terhadap Dunia
yang Bergolak), `Looking East Again? Japan's Role In Reviving Asia',
(Pandang ke Timur lagi? Peranan Jepun dalam Kebangkitan Asia) `Rebuilding
East Asia for The New Millenium' (Membina Semula Asia Timur Bagi
Menghadapi Alaf Baru), dan `Will the 21st Century Still Be the Asia
Century?' (Adakah Abad Ke-21 Masih Menjadi Abad Asia?).
  Farouk berkata, beliau menemui Dr Mahathir Sabtu lalu bagi menyampaikan
draf terjemahan buku berkenaan, yang mengambil masa dua bulan untuk
disiapkannya.
  "Buku itu sebenarnya diserahkan kepada saya oleh Konsul Besar Malaysia
di Jeddah, Datuk Syed Hussein al-Habshee dua bulan lalu, yang meminta saya
menilai buku berkenaan untuk pasaran Arab.
  "Selepas mengambil beberapa hari untuk menghabiskan buku itu, saya
memberitahu Syed Hussein bahawa ia amat menarik dan memang sesuai untuk
diterjemahkan dalam bahasa Arab," katanya.
  Beliau yang tidak mengharapkan bayaran dalam menterjemah buka itu,
menyifatkan pandangan Dr Mahathir itu penting kerana krisis Asia boleh
berlaku di dunia Arab.
  Farouk berkata, mulanya, selepas membaca buku itu beliau kurang pasti
sama ada Malaysia boleh melepasi kegawatan ekonomi Asia dengan berkesan.
  "Bagaimanapun, saya bertanya pada Dr Mahathir mengenai kedudukan
Malaysia sekarang dua hari lalu dan beliau berkata, Malaysia berjaya
mengatasinya tanpa sebarang bantuan mana-mana pihak," katanya.
  Pelanduk dijangka mengeluarkan kira-kira 10,000 terjemahan buku
berkenaan untuk pasaran Arab, bermula dengan Dubai, seawal Jun ini.
  Dalam buku berkenaan, Dr Mahathir berkata, Asia yang terjejas teruk oleh
krisis kewangan, mesti dibina semula menerusi asas yang lebih kental
daripada sebelumnya.
  Perdana Menteri berkata Asia mesti sekali lagi memberi tumpuan pada masa
depan selepas krisis kewangan memiskinkan rantau ini.
                                 (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment