Thursday, November 24, 2011

Kursus Bahasa Arab percuma di Perlis




KANGAR 30 Mac - Perlis akan menganjurkan lebih banyak kursus Bahasa 
Arab secara percuma kepada penduduk negeri ini sebagai salah satu usaha 
meningkatkan ilmu pengetahuan selain menggalakkan rakyat menguasai 
bahasa lain.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya akan 
berbincang dengan institusi pendidikan Islam di negeri ini untuk 
membekalkan tenaga pengajar yang mahir bagi mengajar mereka yang 
berminat.

'Usaha memperkenalkan kursus Bahasa Arab di Perlis ini telah dimulakan 
pada tahun 1999 tetapi terhenti sebelum disambung kembali setahun 
kemudian namun kerajaan negeri berharap ia akan lebih aktif mulai tahun ini.

'Untuk itu, Kerajaan Perlis menggalakkan pelbagai lapisan penduduk negeri 
supaya menyertai kelas-kelas Bahasa Arab yang akan diadakan secara lebih 
serius bagi menambah ilmu pengetahuan mereka terhadap bahasa al-
Quran ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kursus 
Bahasa Arab yang disertai sebahagian besar pegawai kerajaan negeri 
termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ahli-Ahli Dewan Undangan 
Negeri dan ketua-ketua jabatan.

 Pada majlis itu, seramai 15 pegawai terbabit memulakan kelas asas 
perbualan dalam Bahasa Arab yang dikendalikan oleh Mufti Perlis, Datuk 
Alim Panglima Mat Jahaya Hussin.

Menurut Shahidan, kelas Bahasa Arab yang membabitkan beliau dan 
pegawai kerajaan negeri selama kira-kira satu jam itu akan diadakan dua kali 
seminggu mengikut kesesuaian masa dan tempat.

Idea untuk menghidupkan semula kursus Bahasa Arab itu, katanya, 
diperoleh sewaktu beliau mengadakan kunjungan ke Mesir baru-baru ini dan 
bertemu Syeikh al-Azhar Dr. Mohammad Sayed Tantawi.

"Dalam pertemuan itu, saya diberikan cabaran oleh Dr. Mohammad Sayed 
Tantawi untuk bertemu pada kali kedua dan bertutur dengan beliau dalam 
Bahasa Arab.

"InsyaAllah, sekiranya kita mempunyai kesungguhan, kursus intensif selama 
tiga bulan ini akan membolehkan saya berkomunikasi dengan beliau lebih 
fasih dalam pertemuan kami akan datang,'' jelas beliau.

Shahidan berkata, usaha untuk mempelajari Bahasa Arab itu akan lebih 
mudah sekiranya semua masyarakat menanam sikap minat untuk 
menguasai bahasa itu.

Katanya, selain mata pelajaran itu yang kini diajar di sebahagian besar 
sekolah, Bahasa Arab akan lebih mudah dikuasai jika semakin ramai dapat 
menguasai dan berminat untuk berkomunikasi antara satu sama lain 
menggunakan bahasa itu.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment