Thursday, November 24, 2011

Drama Arab pertingkat penguasaan bahasa





HUBUNGAN antara Islam dengan bahasa Arab sangat rapat. Tidak dapat
dinafikan cara paling baik dan berkesan bagi memahami al-Quran dan sunnah
Rasulullah saw adalah melalui penguasaan bahasa Arab.
  Untuk memahami dan menghayati agama Islam tanpa menggunakan bahasa Arab
ibarat orang yang ingin mencapai matlamat tanpa menggunakan wasilah.
  Mempelajari bahasa Arab dan mengajarnya adalah sebahagian daripada
tuntutan agama dan kewajipan kepada sesiapa yang mahu menguasai ilmu
Islam.
  Pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab mula mendapat tempat di sekolah
dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ini terbukti melalui usaha
terbaru Kementerian Pelajaran menjadikan Bahasa Arab sebagai satu mata
pelajaran yang perlu dipelajari murid Tahun Satu hingga Enam di sekolah
rendah.
  Langkah ini amat baik dan wajar diberi pujian. Menurut Khaled Ahmad Bani
Omar melalui buku beliau An-Nur Kaedah Pengajaran Bahasa Arab, peringkat
usia antara 10 hingga 12 tahun paling sesuai untuk mempelajari bahasa Arab
kerana beberapa faktor.
  Antaranya pelajar mampu menulis tulisan jawi dan membaca al-Quran,
pelajar belum sibuk dengan pelbagai perkara atau urusan lain.
  Justeru, mereka lebih mudah memberi perhatian terhadap pelajaran dan
proses pembetulan pada peringkat usia ini lebih mudah iaitu mereka lebih
mudah menerima teguran dan pembetulan daripada pengajar.
  Tetapi, usaha Kementerian Pelajaran perlu dipertingkatkan. Pengetahuan
dan kemahiran berbahasa pelajar perlu diperluaskan hingga ke alam realiti
agar pengetahuan pelajar bahasa Arab tidak terhad di kelas atau bilik
darjah.
  Justeru, pendedahan dalam rutin seharian perlu diwujudkan supaya budaya
berbahasa dapat difahami dan dihayati dengan lebih baik.
  Saya ingin menyarankan Kementerian Penerangan membantu Kementerian
Pelajaran dalam hal ini. RTM perlu menayangkan kembali filem dan drama
Arab yang pernah mendapat tempat suatu ketika dulu dalam slot Asean
Delight di TV1 dan TV2.
  Saya dapati penggunaan bahasa lain seperti Inggeris, Cina, Tamil dan
Jepun (selain bahasa Melayu), sudah sedia ada pada kebanyakan rancangan di
TV.
  Tetapi penggunaan bahasa Arab dalam berita, drama atau filem tidak
diberikan tempat langsung oleh RTM dan stesen TV utama tempatan.
  Tayangan drama dan filem Arab dapat memberi peluang kepada masyarakat
khasnya pelajar menguasai bahasa itu dengan lebih baik dan berkesan.
  Tayangan rancangan bahasa Arab dapat memperkukuhkan perbendaharaan kata
pelajar kerana dialog dalam drama, filem atau kartun boleh membantu
pelajar bertutur dalam bahasa Arab.
  Prof Datuk Dr Asmah Omar dalam buku The Linguistic Scenery In Malaysia
menyebut televisyen juga boleh memainkan peranan penting dalam
perkembangan bahasa dengan menayangkan filem Arab kerana bahan ini boleh
memindahkan kehidupan sebenar ke dalam ruang kelas.
  Langkah menayangkan sebarang program dalam bahasa Arab di TV amat wajar.
Di samping itu, penggunaan terjemahan sari kata tanpa penggunaan alih
bahasa suara dalam program bahasa Arab memberikan pendedahan suasana
bahasa Arab yang sebenar kepada pelajar.
  Penggunaan terjemahan sari kata memberi peluang kepada pelajar
mengetahui dan menghayati bahasa Arab yang digunakan penutur jati di
negara Arab.
  Ia juga memberi kefahaman kepada masyarakat di negara ini terhadap
budaya dan peradaban masyarakat Arab.
  AZWA AHMAD,
Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.
                              (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment