Friday, November 25, 2011

`Bahasa Arab, Cina, Tamil subjek tambahan'




PENDIDIKAN agama lain selain Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan (SK)
perlu dipertimbangkan jika ia boleh menarik lebih ramai masyarakat bukan
Melayu untuk belajar di sekolah jenis itu.
  Pada masa ini, ada ibu bapa bukan Islam, menganggap bahawa SK tidak
memberi perhatian terhadap pengajaran agama lain.
  Pada mereka, Pendidikan Moral yang diajar sekarang tidak sama dengan
pendidikan agama masing-masing.
  Oleh itu, mereka lebih suka menghantar anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan
(SJK) bagi mendapatkan pendidikan itu.
  Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Prof Madya Dr Abdul
Rahman Daud, berkata perkara itu perlu diberi pertimbangan jika ia boleh
mengelakkan pengasingan pelajar mengikut kaum di SK dan SJK.
  Katanya, ada pandangan bahawa Pendidikan Islam perlu dikeluarkan sebagai
mata pelajaran di SK dan pelajar Islam diwajibkan menghadiri kelas agama
selepas persekolahan biasa.
  Cara itu akan menggalakkan bukan Melayu untuk belajar di SK. Pada masa
sama langkah itu dapat menarik segelintir ibu bapa yang sebelum ini
mahukan anak mereka belajar di sekolah agama, menghantar anak ke SK.
  Bagaimanapun, kata Abdul Rahman, persoalan akan timbul mengenai
kewajaran hanya pelajar Melayu diwajibkan menghadiri pengajian agama
sedangkan pelajar Cina dan India tidak terbabit sama.
  Katanya, ibu bapa Cina dan India tetap akan mempersoalkan tindakan ini
dan mendakwa sistem berkenaan masih tidak adil serta kurang
menitikberatkan hak mereka.
  "Walaupun kesangsian mereka terhadap sekolah kebangsaan diperbaiki
apabila mata pelajaran agama Islam di sekolah kebangsaan dimansuhkan,
namun mereka tetap beranggapan hak mereka belum dipenuhi.
  "Pada mereka, sistem itu masih tidak menitikberatkan sepenuhnya hak
mereka, terutama hak untuk mendalami ilmu keagamaan dan budaya seperti
mana yang diperoleh di SJK.
  "Justeru, saya berpendapat, kaum Cina dan India hendaklah turut
diberikan peluang mempelajari agama masing-masing," katanya.
  Abdul Rahman yang juga Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan
Pendidikan Malaysia, berkata pelaksanaan kelas agama bagi pelajar Melayu
pada sesi selepas persekolahan biasa hendaklah mengambil kira kehendak
kaum lain.
  Secara tidak langsung, katanya, kaum Cina dan India tidak lagi berasa
terpinggir kerana pada masa itu mereka sudah boleh mempelajari akademik di
sekolah kebangsaan dan mempelajari agama serta budaya masing-masing pada
sesi petang.
  Malah, katanya, ibu bapa Melayu akan menyambut baik perkara itu kerana
anak mereka tidak lagi ketinggalan dalam ilmu duniawi dan ukhrawi.
  Katanya, langkah itu berkesan untuk merapatkan jurang antara kaum dan
menyelesaikan krisis kekurangan pelajar Cina dan India di sekolah
kebangsaan ketika ini.
  Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar mata pelajaran bahasa Arab,
Cina dan India dijadikan mata pelajaran tambahan di sekolah kebangsaan di
samping mewajibkan pengajian agama pada sesi petang.
  Katanya, langkah sedemikian bertujuan memberi peluang kepada pelajar
mempelajari bahasa kaum lain, sekali gus menghalang prasangka antara satu
sama lain.
  Beliau mengakui bahasa adalah alat penyatu dan pengerat hubungan sesama
kaum kerana masing-masing dapat memahami apa yang diucapkan oleh orang
lain.
                                (END)  Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment