Thursday, November 24, 2011

Kementerian digesa sedia guru Bahasa Arab




KEMAMPUAN serta keberkesanan guru Pendidikan Islam mengajar Bahasa Arab
Komunikasi dikhuatiri semakin terbatas berikutan peningkatan bilangan
pelajar yang mengambil mata pelajaran bahasa tambahan itu, sejak
ditawarkan di sekolah kebangsaan, tahun lalu.
  Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Ismail
Nihat, berkata guru terbabit terpaksa memikul beban tugas berlebihan
mengajar dua mata pelajaran berikutan Kementerian Pendidikan belum
memperuntukkan sebarang kuota guru khusus mengajar subjek pilihan baru
itu.
  Katanya, masalah itu perlu diberi perhatian serius, lebih-lebih lagi
kebanyakan sekolah kurang murid hanya ada seorang guru mata pelajaran
Pendidikan Islam yang padat dengan jadual pengajaran tahun satu hingga
enam, sekali gus menyukarkan mereka memikul tanggungjawab mengajar Bahasa
Arab Komunikasi.
  "Sehubungan itu, KPPK menggesa Kementerian Pendidikan supaya segera
memperuntukkan kuota guru khusus bagi pengajaran subjek bahasa tambahan di
sekolah kebangsaan yang kini pelaksanaannya masuk tahun kedua," katanya
kepada Berita Harian.
  Berdasarkan surat pekeliling ikhtisas bertarikh 1 Oktober 2002 yang
ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat, tiga
subjek bahasa tambahan, iaitu Bahasa Cina Komunikasi, Bahasa Tamil
Komunikasi dan Bahasa Arab Komunikasi diperkenalkan mulai tahun satu di
sekolah kebangsaan, tahun lalu.
  Menurut surat pekeliling bertajuk `Penawaran Mata Pelajaran Bahasa
Tambahan di Sekolah Kebangsaan', subjek terbabit hendaklah ditawarkan
sebagai mata pelajaran pilihan tidak wajib.
  Justeru, permintaan ibu bapa untuk menubuhkan kelas Pupils' Own Language
tidak perlu bagi mengadakan bahasa tambahan.
  Peruntukan masa pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran terbabit
ialah 60 minit seminggu yang masing-masing 30 minit diambil daripada masa
pilihan guru besar serta pertambahan waktu persekolahan bagi tahap satu
sekolah rendah.
  Menurut surat pekeliling itu lagi, pengajaran dan pembelajaran subjek
bahasa tambahan hendaklah dimasukkan dalam jadual waktu rasmi sekolah.
  "Tertakluk kepada keupayaan dan kemudahan sedia ada, pihak sekolah
hendaklah menawarkan sekurang-kurangnya satu mata pelajaran bahasa
tambahan. Penawaran subjek berkenaan terbuka kepada semua murid berminat
mempelajari bahasa dikenal pas-ti.
  "Bagi murid yang tidak mengambil mata pelajaran bahasa tambahan, pihak
sekolah hendaklah memberi tugasan mengikut budi bicara guru besar. Sebagai
permulaan, pengajaran dan pembelajaran bahasa tambahan mulai tahun satu
akan dilaksanakan di 300 sekolah kebangsaan yang dikenal pasti oleh
Kementerian Pendidikan.
  "Bagaimanapun, sekolah yang sedang melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran bahasa tambahan hendaklah meneruskannya," menurut surat
pekeliling itu.
  Secara umum menurut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 9/1998 bertarikh 2 Mei
1998, Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral sudah menjalankan
projek rintis pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di 98 sekolah
seluruh negara pada 1997.
  Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat
(KGMMB), Prof Madya Dr Abdul Rahman Daud, pula mencadangkan supaya
Kementerian Pendidikan memperuntukkan elaun khas kepada guru Pendidikan
Islam yang terpaksa memikul tugas tambahan mengajar mata pelajaran Bahasa
Arab Komunikasi.
  "Pemberian elaun ini wajar sebagaimana dinikmati guru subjek kritikal.
Adalah tidak adil jika mereka memikul beban tugas berlebihan begitu saja,"
katanya yang juga Presiden Kongres Dalam Perkhidmatan Pendidikan
(Kongres).
                                (END)  Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment