Friday, November 25, 2011

Imbuhan daripada bahasa Arab-Parsi dan Sanskrit

SEJAK zaman dahulu lagi, masyarakat Melayu telah bertembung dengan budaya
lain, misalnya dengan budaya Hindu, budaya Arab-Parsi, budaya Cina dan
budaya Eropah. Hasil pertembungan ini ialah pengaruh, iaitu budaya asing
mempengaruhi budaya Melayu, dan budaya Melayu mempengaruhi budaya asing.
  Dengan pengaruh ini, turut terlibat ialah pengaruh terhadap bahasa,
kerana setiap perkara, benda dan idea dari luar diterima masuk ke dalam
budaya Melayu. Turut diterima ialah perkataan dan ungkapan bagi yang baru
masuk itu.
  Tiga bahasa yang meninggalkan pengaruh ke atas kosa kata bahasa Melayu
ialah bahasa Arab-Parsi, bahasa Sanskrit, dan bahasa Inggeris. Dua yang
pertama, iaitu Arab-Parsi dan Sanskrit berlaku pada zaman lampau, tetapi
pengaruh bahasa Inggeris lebih baru dan prosesnya masih berterusan.
  Pengaruh yang pertama ialah daripada bahasa Arab-Parsi. Datangnya
melalui agama Islam kira-kira pada abad ke-13 Masihi. Sebagai bahasa rasmi
agama Islam, bahasa Arab telah mendapat tempat istimewa di kalangan orang
Melayu, menjadikan perkataan daripada bahasa tersebut dengan senang
diterima. Kadang-kadang turut terambil ialah perkataan daripada bahasa
Parsi, kerana hubungan antara kedua-dua bahasa tersebut amat erat.
  Di samping perkataan, turut terserap ke dalam bahasa Melayu ialah
imbuhan. Pada dasarnya, peminjaman kerap berlaku hanya pada tahap
perkataan. Peminjaman pada tahap imbuhan tidak begitu kerap. Namun, dalam
bahasa Melayu kini, dapat dikenal pasti dua jenis imbuhan yang jelas
dipinjam daripada bahasa Arab-Parsi, iaitu satu awalan dan enam akhiran.
  Awalan yang dimaksudkan ialah awalan "bi-" yang berasal daripada bahasa
Parsi. Awalan "bi-" bererti `tidak' dan digunakan untuk menerbitkan kata
adjektif, misalnya "bilazim" (bi-+lazim) yang bererti tidak lazim, dan
"biadab" (bi-+adab) yang bermaksud tidak beradab.
  Pada amnya jumlah perkataan dengan awalan ini dalam bahasa Melayu agak
terhad. Usaha untuk cuba mempopularkan awalan ini pernah dibuat dalam
konteks pembentukan istilah sains dan teknologi, tetapi satu contoh sahaja
yang dapat diberikan, iaitu "binormal" (bi-+normal) yang bermaksud tidak
normal.
  Sebagai bandingan, terdapat enam akhiran yang berasal daripada bahasa
Arab yang digunakan dalam bahasa Melayu pada masa ini. Dua yang pertama
ialah "-wi" dan "-". Akhiran "wi" dan "-" digunakan secara terbatas untuk
menimbulkan kata adjektif, iaitu untuk mencirikan sifat yang terkandung
dalam kata dasar, misalnya "duniawi" dan "abadi".
  Kedua-dua bentuk ini merupakan kelainan bagi satu bentuk, iaitu
penggunaannya ditentukan oleh huruf akhir kata dasar yang menerima awalan.
Jikalau kata dasar itu berakhir dengan vokal, maka akhiran "wi" digunakan,
misalnya "manusia" (menjadi manusiawi) dan "duniawi" (dunia+-wi).
  Sebaliknya, jikalau kata dasar berakhir dengan konsonan, misalnya
"abad", maka akhiran "-" akan digunakan, menjadikannya "abadi".
  Yang ketiga ialah akhiran "-iah", yang digunakan bagi membentuk kata
adjektif yang membawa makna sifat atau ciri yang terkandung dalam kata
dasar. Con-tohnya ialah "alamiah" (alam+-iah), "lahiriah" (lahir+-iah),
dan "batiniah" (batin+-iah).
  Akhir sekali ialah akhiran "-in", "-at" dan "-ah", seperti dalam
perkataan "mukminin" (untuk laki-laki), "mukminat" (untuk perempuan), dan
"ustazah" (juga bagi perempuan). Contoh lain ialah: hadirin/hadirat,
qari/qariah, dan munafikin/munafikat.
  Jumlah imbuhan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit lebih banyak,
iaitu sembilan awalan dan empat akhiran.
  Sembilan awalan Sanskrit ialah: "maha-", "tata-", "pra-", "swa-",
"panca", "tuna-", "dwi-", dan "tri-".
  Awalan "maha-" membawa erti `paling atau tahap superlatif', misalnya
"maharaja", "mahaguru", dan "mahahakim".
  Awalan "tata-" membawa pengertian `suatu susunan atau peraturan',
contohnya: "tataterbit", tatacara", dan "tatahukum".
  Awalan "swa-" pula membawa maksud `sebelum atau syarat kepada sesuatu
yang mengikutinya', contohnya: "prakata", "prasejarah", dan "prasangka".
  Awalan "swa-" membawa maksud `sendiri' tetapi kurang digunakan dalam
bahasa Melayu pada masa ini. Contohnya: "swasta" (berdiri sendiri),
"swalayan" (layan sendiri), dan "swadaya" (kekuatan sendiri).
  Awalan "tuna-" juga tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu.
Pengertian yang dibawa oleh awalan ini ialah `tiada atau tidak mempunyai',
contohnya "tunaanggota" (tanpa anggota), "tunakarya" (penganggur) dan
"tunawisma" (tiada berumah).
  Akhir sekali ialah tiga awalan yang membawa pengertian `bilangan', iaitu
"eka-" (satu), "dwi-" (dua), dan "tri" (tiga). Contoh perkataan ialah
"ekabahasa", "dwifungsi" dan "tribulan".
  Tentang akhiran pula, empat yang dipinjam ialah "-wan", "-man", "-wati"
dan "-nita".
  Pengguaan "-wan" dan "-man" membawa maksud `pelaku sesuatu perbuatan,
pekerjaan atau tugas', atau pemilik sesuatu sifat atau keupayaan. "-wan"
digunakan bagi kata dasar yang berakhir dengan huruf i, sementara "-wan"
bagi kata dasar yang berakhir dengan huruf-huruf lain. Contohnya:
"seniman", budiman", hartawan", dan "ilmu(w)an".
  Akhir sekali, akhiran "-wati" dan "-nita" merupakan padanan bagi
kategori perempuan kepada "-wan" dan "-man". Walau bagaimanapun, konsep
ini tidak begitu kekal kerana bahasa Melayu tidak membuat perbezaan dari
segi jantina.
  Contoh perkataan dengan akhiran ini: "seniwati", "angkasawati" dan
"biduanita".
                              (END)

No comments:

Post a Comment