Friday, November 25, 2011

Sediakan kakitangan mahir bahasa Arab untuk tarik pelancong





KUALA TERENGGANU 6 Mei _ Ahli-ahli Dewan Perniagaan Melayu 
Malaysia (DPMM) yang terbabit dalam sektor pelancongan diminta 
menyediakan kakitangan mahir bahasa Arab bagi menarik lebih ramai 
pelancong dari Timur Tengah ke negara ini.

Pengerusi Portfolio Pelancongan DPMM, Datuk Raduan Mohd. Taib berkata, 
ramai lepasan aliran agama boleh diambil menyertai sektor ini termasuk 
sebagai pemandu pelancong untuk memberi khidmat yang lebih berkesan.

Katanya, jumlah pelancong dari negara-negara Arab ke negara ini hanya 
sekitar 100,000 orang setahun sedangkan ia mempunyai potensi yang besar 
untuk dikembangkan.

``Kita mempunyai ramai pelajar dan lepasan agama yang berkebolehan 
dalam bahasa Arab. Mereka boleh dilatih dalam sektor pelancongan untuk 
memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang Arab yang tiba.

``Malah saya dimaklumkan Kementerian Kesenian dan Pelancongan 
bersetuju menyediakan peruntukan bagi meningkatkan latihan kepada 
pemandu pelancong,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam meraikan 
wakil portfolio pelancongan DPMM negeri-negeri oleh DPMM Terengganu di 
sini, malam tadi.

``Di Terengganu terdapat banyak sekolah agama yang mengajar bahasa 
Arab. Jika dilatih tentu dapat menarik lebih ramai pelancong Arab kerana kita 
dapat memberikan khidmat pelancongan yang lebih baik,'' katanya.

Beliau turut meminta usahawan bumiputera supaya mengambil kesempatan 
memajukan Tanah Rizab Melayu berikutan kelonggaran syarat bagi 
membolehkan pulau-pulau dan kawasan pantai dibangunkan sebagai pusat 
pelancongan.

``Ini adalah satu peluang kepada usahawan Melayu yang mempunyai tanah 
di pulau-pulau dan tepi pantai untuk dimajukan dengan resort dan 
sebagainya,'' ujar beliau.

Raduan turut menarik perhatian agar pemimpin DPMM menjaga imej 
masing-masing sebagai usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment