Saturday, November 26, 2011

Persepsi negatif bahasa Arab wajar dikikis





TULISAN `Tulus Ikhlas' yang tersiar dalam Berita Harian (12 Oktober 1998)
yang mempertikaikan kewajaran bahasa Arab sebagai syarat wajib lulus bagi
pelajar Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), membuatkan saya
terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan mengenai perkara itu.
  Sejarah penubuhan UIA yang bercita-cita melahirkan pelajar cemerlang
akademik di samping keunggulan akhlak adalah suatu usaha yang patut
dipuji. Rentetan inilah ia semacam menampilkan seribu satu macam perbezaan
dan keunikan berbanding pusat pengajian tinggi lain. Justeru itu,
penekanan khusus yang dibuat oleh UIA ini perlu dilihat positif.
  Berbalik kepada matlamat asalnya iaitu pelajar cemerlang di bidang
pendidikan bahasa Arab dan pendidikan akhlak adalah sesuatu yang sukar
dipisahkan. Dalam konteks generasi berpendidikan formal kini, penghayatan
al-Quran secara total memerlukan kecelikan bahasa Arab. Begitu juga dengan
pembinaan kembali tamadun Islam yang pernah bersinar suatu ketika dahulu
semestinya memerlukan cedokan dari rujukan ilmiah berbahasa Arab.
Menyentuh pendidikan formal di sekolah, yang sama sekali tidak mewajibkan
kelulusan bahasa Arab, ia bukanlah sebagai pengukur mutlak masalah di UIA.
Sebaliknya kewajaran proses ini timbul kerana di institusi pengajian
tinggilah mata pelajaran ini perlu diutamakan. Seharusnya penulis tidak
terlalu terikut-ikut dengan suasana persekolahan.
  Sebagai golongan terpelajar, kita harus matang dan tidak terlalu cepat
melatah sehingga tidak memikirkan implikasi sebaliknya. Saya begitu
meragui persoalannya terhadap ruang lingkup keterbabitan Bahasa Arab dalam
kegunaan seharian di Malaysia. Persoalan sebegini harus ditanggapi secara
hikmah dan matang. Jika benarlah bahasa Arab agak kurang digunakan
bagaimana pula dengan bahasa Inggeris? Saya secara peribadi merasakan
usaha mewajibkan kelulusan bahasa Arab di UIA adalah atas dasar
mendampingi ilmu secara menyeluruh dan meluas.
  Pemikiran sesetengah pihak beranggapan bahawa dengan adanya peraturan
wajib lulus akan menghalang pelajar yang cenderung kepada bidang masing-
masing. Agak janggal rasanya bagaimana persepsi begini ditimbulkan. Untuk
pengetahuan semua, di UIA pelajar akan mengikuti kursus intensif bahasa
mengikut tahap masing-masing. Kemudian pelajar akan mengikuti sukatan
mengikut disiplin kursus masing-masing. Penerapan bahasa Arab dalam
sukatan pelajar  kena pada tempatnya. Momokan atau sebarang persepsi
negatif terhadap bahasa Arab sebagai batasan kecenderungan pelajar wajar
dikikis sama sekali. Latar belakang pelajar yang dikatakan bukan dari
sekolah beraliran agama juga kerap dijadikan alasan atau hujah memohon
peraturan itu daripada diwajibkan. Umpama sehelai kain putih pelajar yang
'sifar' pengetahuan bahasa Arab ini didedahkan secara berperingkat. Ini
bermakna tahap penguasaan juga beransur-ansur baik. Apakah ini suatu yang
membebankan? Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa peratusan pelajar
yang gagal adalah terlalu minimum.
  Menyentuh tentang sistem persijilan terbuka yang bakal diperkenalkan
pada tahun 2000 kelak rasanya tidak mungkin UIA terkebelakang jika
meneruskan jua peraturan ini. Selama ini pun UIA tidak pernah mengabaikan
minat atau kecenderungan pelajar mengikuti kursus yang ditawarkan. Apa
yang nyata masih ada pihak tertentu tidak meyakini keupayaan UIA berdiri
sama tinggi dengan institusi pengajian tinggi (IPT)lain. Sebagai sebuah
institusi pendidikan ulung di peringkat antarabangsa, UIA ingin
mencerminkan sesuatu keunikan tetapi jelas hala tujunya. Secara jujur saya
menyangkal kedangkalan pihak yang tertentu yang menyarankan pelajaran
bahasa Arab sekadar pendidikan tanpa mewajibkannya dengan alasan ia
membatasi minat pelajar.
  Mengapa kita perlu takut kepada bayang-bayang kita sendiri sedangkan
kita mampu mencetuskan corak bangsa yang berjaya? Adalah lebih unggul jika
bentuk generasi pewaris kelak yang bakal mewarnai negara terdidik dengan
warna kegemilangan akhlak.
  Seperkara lagi yang ingin saya sentuh ialah berhubung dengan kerisauan
saya terhadap mata pelajaran ini. Jika kita imbau kembali sejarah tulisan
jawi yang kian pudar daripada ingatan, ia sebenarnya sikap segelintir
masyarakat yang mengambil remeh perkara ini.
  Cuba kita bayangkan seseorang pelajar (biasanya) tidak akan bersungguh
dalam sesuatu perkara jika ia tidak dijadikan perkara wajib. Begitu juga
dengan pengajaran bahasa Arab di sini, jika ia tidak ditekan maka larilah
dari tujuan asalnya untuk menggarap pelajar berkeupayaan dalam kedua-dua
bidang. Jika ini berlaku tidak mustahillah suatu hari nanti ada orang yang
akan pertikaikan kewajaran mewajibkan mata pelajaran pendidikan Islam.
  Akhirnya, sebagai satu-satunya institusi pengajian Islam yang ulung
dengan garapan perkataan antarabangsa saya berharap proses mewajibkan
bahasa Arab sebagai syarat lulus sesuatu yang patut diteruskan tanpa perlu
dipertikai lagi. Ramai yang tidak menyedari inilah sebenarnya keunikan UIA
dibanding dengan lain-lain IPT.

No comments:

Post a Comment