Thursday, November 24, 2011

YAYASAN PAHANG CADANG ADAKAN KURSUS BAHASA INGGERIS DAN ARAB


 
KUANTAN, 24 Ogos (Bernama) -- Yayasan Pahang (YP) akan membentangkan
dua kertas cadangan kepada kerajaan negeri untuk menjalankan kursus bahasa
Inggeris dan bahasa Arab kepada pegawai dan kakitangan kerajaan serta
agensinya.
    Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, beliau telahpun melihat
cadangan tersebut dan berpendapat ia amat bagus dan akan dapat membantu
pegawai dan kakitangan kerajaan memperbaiki serta memahirkan diri mereka
dalam kedua-dua bahasa itu.
    Menurutnya, mengikut cadangan tersebut, kursus itu akan dijalankan
selama enam bulan, secara mingguan dan penyertaannya adalah secara sukarela
kepada mereka yang berminat mengikutinya.
    "Kita jangka apabila tamat nanti, peserta akan dapat kuasai bahasa
Inggeris dengan baik sekali. Bagi yang belum punyai asas, mereka akan boleh
bertutur secara asas dengan baik," katanya selepas melancarkan `English
Camp 2002' anjuran Yayasan Pahang dan Kumpulan News Straits Times di sini,
petang ini.
    Kem tiga hari itu disertai lebih 300 orang pelajar tahun lima dari
seluruh negeri Pahang bagi membantu mereka untuk memperbaiki dan menguasai
bahasa itu dengan lebih baik.
    Adnan berkata, kertas cadangan itu dibuat kerana kerajaan negeri Pahang
amat serius dalam usahanya untuk memberikan peluang kepada kakitangan
kerajaan serta agensinya belajar dan memperbaiki diri mereka dalam kedua
bahasa tersebut.
    Sementara itu Adnan yang juga Pengerusi YP berkata, English Camp yang
diadakan itu adalah perintis kepada program memperkayakan kanak-kanak
sekolah dengan bahasa Inggeris.
    Menurutnya, walaupun untuk kali ini ia diadakan di Kuantan, tetapi di
masa hadapan Kerajaan Negeri bercadang untuk memperluaskannya kepada
sekolah-sekolah di luar bandar.
    "Tetapi kem inipun disertai oleh pelajar-pelajar yang datang dari luar
Kuantan dan daripada apa yang saya lihat, ada yang mempunyai kebolehan
berbahasa Inggeris dan ada yang tidak.
    "Kita harapkan selepas kem ini mereka akan dapat memperbaiki penguasaan
dalam bahasa Inggeris," katanya.
    -- BERNAMA
    HIS ZB

No comments:

Post a Comment