Saturday, November 26, 2011

Baca al-Quran cara terbaik belajar bahasa Arab




MEMBACA al-Quran setiap hari dan memerhatikan dengan teliti susunan
bahasanya adalah salah satu cara untuk mahir dalam bahasa Arab, kata
Ustazah Habibah Ramli dari SMA Persekutuan Kajang (SMAPK), Selangor.
  Menurutnya, membaca kitab suci itu akan dapat memahirkan pelajar dengan
bahasa itu kerana bahasa dalam al-Quran adalah bahasa Arab yang betul dan
indah bahasanya.
  "Saya selalu menggalakkan pelajar membaca dan menghayati makna al-Quran
kerana berdasarkan pengalaman saya, cara ini berkesan untuk menguasai
bahasa Tuhan ini, lebih-lebih kepada pelajar yang mengambil mata pelajaran
Bahasa Arab Tinggi."
  "Lagipun al-Quran berada dekat dengan umat Islam kerana kita menggunakan
bacaan ayat suci itu setiap hari, iaitu dalam sembahyang," katanya ketika
ditemui di sekolah itu baru-baru ini.
  Habibah adalah guru Bahasa Arab Tinggi sejak beliau memulakan
perkhidmatannya dalam bidang pendidikan hampir 13 tahun lalu. Beliau juga
Ketua Jabatan Pengajian Islam sekolah itu.
  Hasil bimbingannya dan 22 guru lain dalam jabatan itu, SMAPK berjaya
mencapai kejayaan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi (BAT)
dan Bahasa Arab Komunikasi (BAK) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia tahun lalu.
  Daripada 121 pelajar mengambil BAT, 42 pelajar atau 34 peratus mendapat
A1 dan A2 dan daripada 16 pelajar yang mengambil BAK, 11 mendapat A1 dan
A2.
  Habibah berkata, syarat asas untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang
bermula dari guru kerana guru perlu jujur dan ikhlas dalam tugasnya.
  "Sebagai guru, kita perlu jujur dan ikhlas untuk menyampaikan ilmu
kepada pelajar kita kerana jika keadaan yang sebaliknya berlaku, pelbagai
masalah akan timbul kemudian hari."
  "Yang kedua, kita perlu menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran
BAT kerana bahasa Arab satu bahasa yang susah dikuasai tetapi guru
mestilah meyakinkan pelajar dan memupuk tanggapan bahawa bahasa ini
sebenarnya mudah dan boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja."
  "Bila kita kata mudah, barulah perkara yang sukar menjadi mudah kerana
jika bahasa itu dianggap susah, ini menyebabkan pelajar akan mengaku kalah
awal-awal lagi," katanya yang juga diamanahkan tanggungjawab sebagai Naib
Pengerusi Panitia Bahasa Arab Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat,
Selangor.
  Habibah yang berasal dari Pokok Sena, Alor Star, Kedah adalah graduan
Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Arab dari Universiti Al Azhar,
Kaherah, Mesir pada 1983.
  Selepas mendapat Sijil Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Perguruan
Islam, Kuala Lumpur, beliau ditugaskan di SMA Wilayah Persekutuan, ketika
itu di Petaling Jaya sebelum berpindah ke Labu, Seremban, Negeri Sembilan
pada 1987. Pada 1990, Habibah berpindah ke SMAPK.
  Katanya, selain mempelbagai kaedah pengajaran seperti melalui penggunaan
video, filem dan kaset lagu Arab dan menjelajah Internet untuk membaca
akhbar berbahasa Arab, guru juga perlu berusaha dengan aktiviti tambahan
yang lain.
  "Penggunaan medium lain seperti filem, kaset dan Internet sesuai untuk
menarik perhatian pelajar dan mengubah suasana tetapi bukan semua pelajar
selesa dengan kaedah itu terutama pelajar yang lemah."
  "Untuk meningkatkan prestasi pelajar ini, kami di sini mengadakan
program mentor-mentee, iaitu seorang guru memberi bimbingan penuh kepada
dua atau tiga pelajar."
  "Selain itu, pihak sekolah juga mengadakan Perkampungan Mukhayyam di
Sungai Congkak, Hulu Langat yang memberi penekanan khas kepada motivasi
dan latihan intensif untuk pelajar yang lemah," kata ibu kepada tiga anak
ini.
  Habibah mendapat pendidikan rendah di SK Gajah Mati, Pokok Sena sebelum
ke SMA Raudhatul Ulum, Langgar, Kedah sehingga tingkatan tiga.
  Beliau kemudian menyambung pelajarannya di Maktab Mahmud, Alor Star
sehingga tingkatan lima dan seterusnya ke Kolej Islam Klang untuk
pendidikan tingkatan enam.
  Menurutnya, selain program khas itu, setiap tahun sekolahnya mengadakan
seminar kecemerlangan, kelas tambahan dan klinik mata pelajaran bagi
meningkatkan pencapaian pelajar, khususnya dalam mata pelajaran BAT dan
BAK.
  Selain itu, katanya, pelajar juga memainkan peranan yang amat penting
untuk berjaya kerana semangat untuk berjaya harus ada dalam diri pelajar
sendiri.
  "Guru perlu menyedarkan pelajarnya bahawa guru tidak boleh menjamin 100
peratus kejayaan pelajarnya kerana guru hanya berperanan sebagai
pembimbing."
  "Pelajar mestilah berusaha sendiri untuk mahir dalam bahasa itu dan
berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan," katanya yang juga dilantik
sebagai Penasihat Persatuan Bahasa Arab SMAPK.
  Habibah berkata, beliau meminta pelajarnya menubuhkan kumpulan belajar
secara berkumpulan kerana cara itu lebih baik untuk menguasai bahasa Arab.
  "Dengan belajar secara berkumpulan, banyak aktiviti bersama boleh
dilaksanakan, seperti untuk pelajar tingkatan lima aktiviti yang sesuai
ialah perbincangan untuk membuat karangan, forum, syair bahasa Arab dan
nasyid atau lagu."
  "Mereka juga digalakkan bertutur dalam bahasa itu dengan rakan-rakan
dalam kumpulan masing-masing dan juga dengan guru agar lidah mereka
menjadi biasa dan mudah menyebut kata-kata Arab," katanya yang memegang
jawatan Setiausaha Badan Dakwah dan Kepemimpinan sekolah itu.
  Baru-baru ini, beliau membimbing pasukan Musabaqah al-Quran sekolah itu
hingga menjuarai pertandingan peringkat daerah Hulu Langat. Selain itu,
tahun lalu, pasukan syarahan agama sekolahnya berjaya ke peringkat negeri.
  Habibah mengatakan penggunaan kamus dan bahan rujukan lain juga satu
unsur penting untuk menguasai bahasa Arab dengan baik.
  Katanya, pada bulan pertama memulakan pengajaran, beliau membawa
pelajarnya ke perpustakaan untuk memberi panduan kaedah menggunakan kamus
bahasa Arab.
                                (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment