Saturday, November 26, 2011

Bahasa Arab: UIA wajar kaji syarat




SAYA menyokong penuh pendapat `Presiden Kelab Kucing, UIA, PJ (19 Oktober
1998) bahawa bahasa Arab membebankan pelajar Matrikulasi.
  Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sepatutnya menerima hakikat bahawa
pelajar matrikulasi bukanlah berasal daripada sistem persekolahan yang
sama.
  Justeru, mengenakan syarat wajib lulus bahasa Arab didapati tidak wajar.
  Sistem pendidikan negara sejak zaman penjajah sehingga ke hari ini tidak
pernah memberi penekanan kepada pembelajaran bahasa ini.
  Apa yang dilalui oleh sebahagian besar pelajar kita ialah sistem
pendidikan yang berteraskan kepada beberapa mata pelajaran yang ditentukan
oleh Kementerian Pendidikan.
  Dalam senarai ini, tidak ada bahasa Arab kerana ianya tidak diajar di
peringkat sekolah menengah kecuali sekolah pilihan saja.
  Dengan hal yang demikian, apakah logik di sebalik tindakan UIA itu?
  Bukankah sistem pendidikan pada peringkat pengajian tinggi seharusnya
memberi cukup peluang kepada pelajar berjaya dalam mencapai cita-citanya
tanpa menghadapi rintangan?
  Syarat wajib seperti itu sudah tentu akan menyekat dan menimbulkan
kegelisahan di kalangan pelajar.
  Jika UIA terpaksa menjadikan bahasa Arab itu wajib, kenakan kepada
pelajar yang berlatarbelakangkan sekolah agama dan kepada yang  ingin
mengikuti ijazah dalam bidang pengajian Islam saja.
  Mengapa pula memaksa yang lain juga untuk mengambilnya? Apakah UIA
bimbang kelonggaran syarat dalam pembelajaran bahasa Arab akan menjejaskan
namanya sebagai sebuah universiti Islam?
  Bukankah dalam Islam itu sendiri, tidak ada paksaan?
  Untuk pengetahuan umum, UIA bukan sebuah institusi yang berteraskan
pengajian dalam bidang agama saja.
  Lagipun bahasa pengantar utama ialah bahasa Inggeris kerana ianya
bertaraf antarabangsa.
  Situasi di negara Timur Tengah adalah lain sedikit. Di sana adalah wajar
jika pengetahuan bahasa Arab diperlukan.
  Tetapi di negara kita, peraturan semacam itu amat merugikan masa dan
wang semua pihak.
  UIA hendaklah patuh dan mencontohi amalan universiti lain di negara ini
jika mahu meningkatkan imejnya dan kedudukannya daripada nombor 65 dalam
senarai pengiktirafan bagi universiti di Asia.
  Lagipun, pemilihan tenaga pengajar bagi kelas matrikulasi biarlah
mencerminkan warga tempatan sendiri kerana pelajar matrikulasi dipercayai
ramai terdiri daripada Bumiputera tempatan.
  Masakan tidak boleh mencari pensyarah bahasa Arab tempatan untuk
mengendalikan kelas bahasa Arab itu. Langkah itu juga patut difikirkan
semula oleh pihak UIA.
  Akhir kata, saya berharap pihak pembuat dasar di menara gading UIA
menyedari dan menerima hakikat yang sebenar.

1 comment:

  1. mind your word,think properly before you talk.....uia ada visi dan misinya bkn nk kejar ranking semata2..by the way kaji betul2 apa kepentingan bahasa Arab,bdk tadika pn bleh jwb ni...kalau xpandai blaja...dh jadi satu kewajipan,Allah yahdiikum...amin

    ReplyDelete