Friday, November 25, 2011

Bahasa Arab Guru tanggung beban berlebihan





GURU-guru Pendidikan Islam yang diarahkan mengajar mata pelajaran 
Bahasa Arab kini menghadapi masalah menanggung beban waktu mengajar 
yang berlebihan sehingga 30 jam seminggu. Presiden Kesatuan Kebangsaan 
Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Md. Bashah 
Abd. Razak berkata, sejak akhir-akhir ini, pihaknya menerima banyak 
rungutan mengenai perkara itu daripada guru-guru terbabit.

Katanya, kesatuan dimaklumkan bahawa guru-guru tersebut terlibat dalam 
satu projek percubaan Bahasa Arab di sekolah- sekolah rendah yang 
dimulakan sejak empat tahun lalu dan dijangka berakhir pada 2002.

"Kesatuan menyokong supaya Bahasa Arab dijadikan satu mata pelajaran 
khusus kerana ia merupakan usaha yang baik. Malah, ibu bapa juga lebih 
tertarik untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah ini.

"Namun terdapat rungutan daripada guru-guru kerana merasa terbeban dan 
tidak mampu mengajar sebab terpaksa mengajar 25 hingga 30 waktu 
seminggu," katanya kepada Utusan di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Menurut Md. Bashah, guru-guru khas Bahasa Arab tidak diperuntukkan untuk 
mengajar subjek itu kerana ia merupakan satu projek percubaan Jabatan 
Pendidikan Agama dan Moral Kementerian Pendidikan.

Katanya, projek percubaan itu dijalankan di sekolah kategori B iaitu sekolah 
satu sesi yang mempunyai mata pelajaran Pendidikan Moral dan dipilih oleh 
pihak kementerian.

Bagaimanapun katanya, projek itu memerlukan perancangan yang lebih teliti 
dan teratur bagi mengelakkan ia membebani guru-guru dan murid-murid.

Katanya, guru-guru Pendidikan Islam di sekolah-sekolah yang terpilih dalam 
projek percubaan itu terpaksa mengajar Bahasa Arab empat waktu seminggu.

Pada peringkat awal, projek percubaan itu melibatkan sebuah sekolah di setiap 
daerah seluruh negara. Namun berikutan permintaan yang menggalakkan, 
khususnya daripada ibu bapa, projek itu kini melibatkan kira-kira 20 sekolah 
dalam satu daerah.

Tambah Md. Bashah, pihak sekolah juga menghadapi masalah untuk 
meneruskan projek percubaan itu kerana batasan jumlah waktu mengajar.

Berikutan itu ada ketikanya mata pelajaran Bahasa Arab mengambil alih waktu 
subjek-subjek lain termasuk Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani, subjek-
subjek pilihan guru besar dan kokurikulum.

"Program itu merupakan satu projek yang baik kerana ia dapat membantu 
meningkatkan penguasaan tulisan jawi dan kefahaman agama.

"Tetapi ia memerlukan kerjasama kementerian untuk melatih semula guru-guru 
yang diarahkan mengajar Bahasa Arab ini, sama ada di maktab-maktab 
perguruan atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)," katanya.

Menurut Md. Bashah, latihan semula perlu kerana kebanyakan guru yang 
mengajar Bahasa Arab itu sudah lama meninggalkan bidang mata pelajaran 
itu.

Tambahnya, kementerian diharap menimbangkan Bahasa Arab dijadikan mata 
pelajaran luar kuota - iaitu sama seperti Bahasa Melayu dan Inggeris - supaya 
ia tidak menimbulkan masalah menggunakan guru-guru Pendidikan Islam.

Katanya, kesatuan juga meminta guru-guru yang diarahkan mengajar Bahasa 
Arab supaya dibayar elaun khas sebagai penghargaan kepada usaha mereka.

Selain itu, Md. Bashah berkata, sepatutnya Bahasa Arab diajar di luar waktu 
sekolah iaitu pada sebelah petang supaya tidak mengganggu pembelajaran 
murid dan pengajaran guru.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment