Thursday, November 24, 2011

BAHASA ARAB MATA PELAJARAN WAJIB DALAM PENDIDIKAN ISLAM





 
MARANG, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan menjadikan Bahasa Arab sebagai
mata pelajaran wajib bagi pelajar yang mengambil pendidikan Islam di
sekolah rendah dan menengah, kata Pemangku Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi.
    Beliau berkata kajian mengenai perkara itu sedang dilakukan oleh
Kementerian Pendidikan dan kerajaan berharap ia dapat dilaksanakan secepat
mungkin supaya Bahasa Arab akan menjadi sebagai sebahagian daripada sukatan
pendidikan dan bukan lagi secara pilihan seperti sekarang.
    "Ia akan diajar dari peringkat awal sekolah rendah hingga ke sekolah
menengah," katanya pada sidang media selepas melancarkan program `English
on Wheels' di sini hari ini.
    `English On Wheels' merupakan program peringkat nasional yang
dikendalikan oleh Puteri Umno untuk memperkenalkan konsep pembelajaran
Bahasa Inggeris yang menyeronokkan serta memupuk minat untuk belajar Bahasa
Inggeris dari kecil.
    Abdullah berkata kerajaan sentiasa mengambil tindakan-tindakan yang
sesuai untuk memajukan sukatan pelajaran di negara ini selaras dengan
perkembangan sukatan pelajaran.
    Terdahulu ketika berucap pada majilis itu, Abdullah berkata sesuatu
bangsa itu akan dihormati dan pandangannya dapat disampaikan secara
berkesan serta difahami jika mereka menguasai bahasa yang difahami dunia
iaitu bahasa Inggeris.
    "Jika kita mahu dunia faham apa yang kita mahu, kita sekurang-kurangnya
perlukan satu bahasa komunikasi yang digunakan secara meluas yang digunakan
di seluruh dunia iaitu Bahasa Inggeris," katanya.
    Beliau yakin langkah kerajaan menggalakkan anak-anak sekarang
menggunakan bahasa Inggeris akan menguntungkan mereka pada masa depan.
    -- BERNAMA
    SN AYB MAI

No comments:

Post a Comment