Thursday, November 24, 2011

Kata serapan bahasa Arab




PERBENDAHARAAN kata bahasa Melayu banyak mengambil bahasa Arab kesan dari
tamadun Melayu - Islam. Kemasukan perkataan itu sesetengahnya berubah dan
sebahagian besarnya kekal mengikut ejaan asal. Walaupun kebanyakan ejaan
rumi mengubah suai ejaan itu dari bunyi asalnya, namun ejaan jawi terus
mempertahannya. 
  Misalnya, perkataan dif, daif dan darab - ketiga-tiga perkataan itu
terus dikekalkan ejaannya dengan penggunaan huruf dhad dalam tulisan
jawi. Tidak diubah kepada huruf dal atau dieja mengikut kaedah ejaan
lazim. Perkataan dif dieja dhad-ya-fa, daif dieja dhad-ain-ya-fa, dan
darab dieja dhad-ra-ba, iaitu mengikut ejaan yang diambil daripada ejaan
bahasa Arab.
  Perkataan kertas, sabun, zahir dan reda adalah antara perkataan yang
diubah hurufnya mengikut kaedah Melayu. Perkataan kertas yang asalnya
dieja qaf-ra-tho-sin dieja kaf-ra-ta-sin mengikut sebutan Melayu. Sabun
yang asalnya dieja shad-alif-ba-wau-nun dieja sin-alif-ba-wau-nun. 
  Perkataan zahir dan reda yang berasal daripada bahasa Arab
zho-alif-Ha-ra dan ra-dhad-alif, kini dieja lam-alif-Ha-ya-ra dan
ra-ya-lam-alif. Bagaimana pun, perkataan zahir dan reda digunakan dalam
menyebutkan hal berkaitan agama. Ini bermakna kedua-dua perkataan zahir
dan lahir, reda dan rela diguna pakai pada tempat yang serasi.
  Selain perubahan huruf, perubahan juga berlaku dengan penambahan huruf
saksi. Perkataan zahir yang dieja tanpa huruf saksi ya telah ditambah
huruf saksi ya dalam ejaan jawi. Samalah dengan perkataan fikir dan zikir
masing-masing dieja fa-ya-kaf-ya-ra dan zai-ya-kaf-ya-ra.
  Dalam hal kata berimbuhan seperti iman, iklan dan iktiraf sebagai
contoh, apabila di tambah kata depan, awal me- atau pe-, maka perkataan
itu sudah bersifat kemelayuan. Perkataan diimani dieja
dal-alif-hamzah-ya-mim-alif-nun-ya, mengiklan dieja
mim-nga-ya-ain-lam-alif-nun, dan pengiktirafan dieja
pa-nga-ya-ain-ta-ra-alif-fa-nun.
  Perkataan diimani yang ditambah hamzah di atas alif adalah mengeja
mengikut kaedah jawi dan tidak menyebabkan ia dibaca sebagai
[di.ai.man.i], kerana hamzah di atas alif itu bukan hamzah yang membantu
bunyi, melainkan hamzah yang berfungsi sebagai penyempadan di antara kata
dasar yang berawalkan huruf alif dengan kata depan, di. Hal ini berlaku
kerana ambilan kata dasar iklan dan iktiraf dari bahasa Arab tanpa hamzah
di bawah alif. Sebaliknya perkataan Islam, kini diambil dari kata dasar
bahasa itu yang ada hamzah di bawah alif. Jika perkataan itu ditambahkan
kata depan di, ke atau se, hamzah di bawah alif itu dikekalkan.
  Diislamkan, keislaman dan seislam dieja dengan hamzah di bawah alif
walaupun ditambahkan kata depan di depannya.
                              (Berita Minggu)

No comments:

Post a Comment