Thursday, November 24, 2011

PROGRAM BELAJAR BAHASA ARAB DI MASJID SELURUH JOHOR




 
JOHOR BAHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri akan memperkenalkan
program mempelajari bahasa Arab di semua masjib di negeri ini bagi membantu
masyarakat Islam mendalami makna Al-Quran.
    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Hamzah Ramli berkata
program itu merupakan lanjutan daripada program membudayakan Al-Quran yang
dilaksanakan di negeri ini lebih lima tahun lepas.
    "Selain peluang untuk menguasai bahasa Arab, masyarakat Islam juga akan
dapat mendalami dan lebih memahami makna Al-Quran yang dibacanya," kata
beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
    Hamzah berkata, program membudayakan Al-Quran itu telah berjaya menarik
kira-kira 200,000 orang termasuk pelajar, kakitangan kerajaan dan orang
ramai untuk mengikutinya.
    Menurut Hamzah, program tersebut yang diilhamkan oleh Menteri Besar,
Datuk Abdul Ghani Othman, dijangka dapat dilaksanakan sebelum bulan Ramadan
akan datang di 82 buah masjid di seluruh negeri ini.
    Modul program tersebut telah disiapkan dan tenaga pengajar yang
merupakan guru agama dari sekolah Arab juga telah dikenal pasti bagi
menjayakannya, katanya.
    Beliau berkata sebanyak RM157,400 telah diperuntukkan setiap tahun bagi
tujuan itu yang antara lain melibatkan kos membayar elaun guru dan kos
modul program.
    Katanya, buat permulaan program itu hanya akan dijalankan di masjid
tetapi kemudian ia akan dikembangkan ke seluruh jabatan kerajaan
sebagaimana Program Membudayakan Al-Quran.
    Beliau berkata, program mempelajari bahasa Arab itu dijadual akan
diadakan antara satu dan dua jam setiap minggu, iaitu selepas solat Maghrib
dan solat Isyak.
    -- BERNAMA
    RAM NMO

No comments:

Post a Comment