Thursday, November 24, 2011

DUA BUKU DR MAHATHIR DITERJEMAHKAN KE BAHASA ARAB





 
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Sebuah syarikat penerbitan Sudan
telah membukukan artikel-artikel daripada dua buah buku yang tulis oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad - "A New Deal For Asia" dan
"A Way Forward" dalam bahasa Arab.
    Pengarah Perkhidmatan Media Ash-Shahid International, Dr Khalid
Eltigani Elnour berkata, akhbar "As-Sahafi Ad-Dawli" telah menerbitkan satu
siri artikel mengenai kedua-dua buku itu dalam Bahasa Arab masing-masing
dari Julai hingga Oktober tahun lepas dan dari Mac hingga Mei tahun ini.
    "Ini telah menarik perhatian ramai pembaca yang kemudiannya
mencadangkan artikel-artikel itu dibukukan," katanya kepada BERNAMA di
sini, hari ini.
    Dengan edaran harian sebanyak 70,000 naskah, "AS-Sahafi Ad-Dawli" ialah
satu daripada akhbar harian utama Sudan dan akhbar itu juga diedarkan di
beberapa negara Teluk.
    Khalid yang juga ketua pengarang akhbar itu berkata naskah buku itu
telah diedarkan kepada Menteri-menteri, perwakilan dan pemerhati yang
berada di sini untuk menghadiri sesi ke 27 Persidangan Menteri Luar
Negara-negara Islam (ICFM).
    Khalid berkata, kedua-dua buku itu akan dilancarkan di Sudan pada bulan
depan oleh Menteri Luar negara itu Dr Mustafa Osman Ismail.
    Buku "A New Deal for Asia" telah diubah tajuknya kepada "The Stolen
Future- The Story of Economic Crisis of Asian Tigers" sementara "The Way
Forward" diberi tajuk baru "How To Build A Nation
- The Story of Malaysian Renaissance".
    Khalid berkata, buat permulaan syarikat itu telah mencetak 10,000
naskah dan akan mencetak lebih banyak lagi untuk di edarkan ke
negara-negara yang berbahasa Arab.
    "Buku-buku ini ditumpukan kepada pemimpin-pemimpin Arab, ahli politik,
penuntut dan juga untuk perpustakaan-perpustakaan di seluruh dunia,"
katanya.
    Mengenai kos buku itu, Khalid berkata syarikat itu lebih berminat
menyebarkan idea dan pandangan Dr Mahathir kepada masyarakat dunia dan oleh
sebab itu ia bukan untuk mencari keuntungan.
    Beliau berkata, Dr Mahathir dengan idea dan wawasan jauh telah menjadi
satu contoh bukan sahaja kepada negara-negara membangun tetapi juga kepada
semua negara di dunia.
    "Beliau bukan sahaja tokoh Malaysia, tetapi pemimpin dunia dengan
wawasan yang jauh. Saya rasa adalah penting bagi orang-orang Arab
mengetahui pandangan dan ideanya," kata beliau.
    -- BERNAMA
    RV PR

No comments:

Post a Comment