Friday, November 25, 2011

87 guru mengajar bahasa Arab di masjid





TANGKAK 22 Dis. _ Kerajaan Johor telah melantik 87 orang guru yang boleh 
menguasai Bahasa Arab untuk ditugaskan mengajar di kelas-kelas bahasa itu 
di masjid-masjid utama di seluruh negeri ini mulai tahun depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pembukaan kelas 
bahasa Arab itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat di negeri ini 
menguasai bahasa al-Quran dengan lebih baik.

``Saya sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri untuk melantik 
mereka mengajar di kelas-kelas Bahasa Arab yang akan dibuka di masjid-
masjid di negeri ini mulai tahun depan,'' ujarnya ketika berucap di majlis 
penyampaian bantuan Hari Raya kepada golongan miskin di kawasan Dewan 
Undangan Negeri Tangkak di sini petang semalam.

Majlis tersebut yang diadakan serentak dengan majlis berbuka puasa 
berlangsung di masjid Kampung Seri Makmor dekat sini. Turut menerima 
bantuan ialah masyarakat Orang Asli yang tinggal di kaki Gunung Ledang di 
sini.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk mewujudkan 
kumpulan-kumpulan kecil yang bersedia mendalami pengetahuan agama 
Islam secara berkumpulan atau Usrah di negeri ini.

Beliau berharap penubuhan kumpulan seumpama itu akan dapat 
menggalakkan umat Islam berbincang dalam soal-soal agama secara lebih 
mendalam lagi pada masa akan datang.

Menteri Besar gembira kerana lebih 30,000 orang telah menyertai program 
membudayakan al-Quran di masjid-masjid dan surau di negeri ini sejak ia 
dilancarkan empat tahun lalu.

Menurutnya, 100 peratus masjid dan 80 peratus surau-surau di negeri ini telah 
menyertai program tersebut secara aktif.

Program perguruan yang dimulakan dua tahun lalu itu telah berjaya menarik 
minat lebih 20,000 umat Islam yang hendak mendalami al-Quran.

Beliau menerangkan, mereka mendapat bimbingan membaca al-Quran 
dengan betul daripada anak-anak Johor yang telah berjaya menjadi johan 
musabaqah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Abdul Ghani menegaskan, kerajaan negeri pimpinannya menekankan tentang 
al-Quran kerana ia adalah sumber rujukan yang boleh dijadikan panduan 
paling tepat bagi menyelesaikan pelbagai masalah dalam masyarakat.

Terdahulu dariPADA itu, beliau memberitahu, separuh daripada 8,000 orang 
golongan tidak bernasib baik termasuk mereka yang cacat ditempatkan di 
rumah-rumah kebajikan.

Sebahagian lagi, katanya, terus didekati melalui program penyayang yang 
membabitkan masyarakat termasuk pelajar sekolah.

``Selain diberi bantuan, mereka juga sebenarnya sentiasa didekati supaya 
tidak merasa terpinggir,'' ujarnya.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment