Thursday, November 24, 2011

Perlukah bahasa Arab untuk memahami Islam?




Saudara Astora,

Terima kasih kerana tulisan saudara sungguh menarik tentang pemerintahan 
ulama dalam ruangan Bicara Ahad minggu lalu (lihat Mingguan Malaysia, 5 
September, 2004). Saya bersetuju bahawa Islam tidak melarang seseorang 
ulama menceburi politik.

Saya juga bersetuju bahawa pemerintahan yang berdasarkan kepimpinan 
ulama, seperti yang dipelopori oleh Republik Islam Iran, lebih banyak 
membawa mudarat daripada kebaikan kepada rakyat sesebuah negara.

Namun demikian, doktrin kepimpinan ulama kalau saya tidak silap, 
diciptakan oleh bekas pemimpin Iran, Ayatullah Khomeini tidak terdapat 
dalam ajaran al-Quran. Ia boleh dikaitkan dengan hadis yang mengatakan 
ulama itu pewaris para nabi. Hadis ini kerap diucapkan dalam ceramah-
ceramah oleh pemimpin-pemimpin Pas dan penyokong-penyokong mereka 
dalam negara kita.

Al-Quran menerangkan bahawa mereka yang mewarisi ajaran para nabi 
ialah hamba-hamba Tuhan yang Dia pilih dan mereka tidak terbatas kepada 
golongan ulama atau mana-mana golongan khusus. (Lihat al-Quran, 35:32). 
Orang yang harus kita pilih untuk mentadbirkan urusan masyarakat, 
mengikut ajaran Islam, ialah mereka yang layak, tidak kira daripada 
golongan atau kalangan mana. Layak ertinya mempunyai kebolehan dari 
segi ilmu, pengalaman dan amanah dan disukai oleh orang ramai. Tanpa 
ciri-ciri ini dia tidak boleh dipilih.

Biasanya seorang sarjana atau ilmuwan tidak suka menceburi politik, kerana 
kesukaannya ialah membaca, menyelidik, menulis dan mengajar. Politik 
mempunyai banyak tipu muslihat dan ini tidak digemari oleh kaum ilmuwan.

Perkataan ulama (jamak; tunggal: alim) sudah berubah maknanya daripada 
seorang sarjana kepada seorang yang pandai dalam bidang agama saja. 
Oleh kerana dalam Islam bidang ilmu agama (tafsir, hadis, teologi dan 
syariah atau undang-undang) telah beku sejak seribu tahun dulu, maka 
ilmuwan agama kita juga turut beku dan jumud. Ini satu daripada masalah 
mereka, menyebabkan mereka tidak sesuai untuk mentadbirkan sebuah 
masyarakat moden. Saudara telah menyebutkan perkara ini apabila saudara 
berkata fikiran mereka tertutup dan mereka menghalang ijtihad baru.

Tetapi lebih berat daripada ini ialah pegangan mereka yang tertambat 
kepada ajaran-ajaran lampau yang termaktub dalam kitab-kitab hadis, tafsir, 
fikah dan kalam atau teologi. Dengan menyatakan ini, saya tidak bermaksud 
untuk memperkecil-kecilkan sarjana-sarjana Islam dulu. Sama sekali tidak. 
Malah, kita amat berterima kasih kerana melalui usaha-usaha mereka, kita 
dapat belajar banyak. Tetapi sifat ilmu itu ia berkembang daripada generasi 
ke generasi dalam semua bidang. Kejumudan umat Islam hari ini ialah 
kerana kita berpegang kepada ilmu-ilmu yang telah berhenti berkembang 
selama seribu tahun! 

Saudara sendiri berkata pemerintahan ulama zalim dan pendapat ini 
dikongsi oleh ramai cerdik pandai Islam. Dalam tulisan itu, saudara tidak 
menerangkan mengapa. Mustahillah mereka zalim tanpa sebab. Sebabnya 
ialah ideologi mereka menyuruh mereka berbuat demikian. Ambil perkara 
hukum hudud. Sesetengah daripada hukum ini, dalam kes hukum bunuh 
untuk kesalahan murtad dan kes hukum rejam dengan batu untuk kesalahan 
zina, hukum-hukum ini bercanggah dengan ajaran al-Quran dan diambil 
daripada ajaran Yahudi dan Kristian dalam kitab Taurat. Sesetengah 
daripadanya, seperti dalam hukum potong tangan untuk pencuri, diambil di 
luar daripada konteks sejarah, sedangkan al-Quran membenarkan kita 
meringankan hukuman itu hatta mengampuni kesalahan itu dalam keadaan-
keadaan tertentu. Demikian juga dengan perkara membenarkan ijtihad dan 
penggunaan akal dalam mencari pengertian-pengertian baru terhadap 
ajaran-ajaran al-Quran; mereka melarangnya, kerana menganggap ilmu kita 
sudah lengkap!

Baru-baru ini Forum Iqra mengadakan forum tentang sekularisme dari sudut 
Islam di George Town, Pulau Pinang. Salah seorang ahli penal menimbulkan 
soal bahasa Arab sebagai anak kunci kepada kefahaman 
Islam. Isu bahasa Arab ini merupakan isu yang sudah lapuk, namun 
demikian, ramai yang masih keliru.

Kefahaman Islam terletak pada isi, bukan bahasa. Walaupun al-Quran 
diturunkan dalam bahasa Arab, ia telah diterjemahkan ke dalam banyak 
bahasa, termasuk bahasa Melayu. Kita perlu mengetahui dan memahami isi 
kandungan al-Quran supaya kita boleh mengikuti perintah-perintah Tuhan. 
Jika pengetahuan bahasa Arab perlu untuk memahami al-Quran dan 
mematuhi Tuhan, tentulah bangsa Arab tidak mundur pada hari ini!

- Kassim

kassim03@streamyx.com

JAWAPAN:

Terima kasih kerana sudi membuat ulasan panjang lebar tentang tulisan 
penulis minggu lalu. Penulis percaya ramai bersetuju dengan Pak Kassim 
termasuk ulama yang merupakan ahli akademik yang banyak membaca dan 
menyelidik. 

Cuma mungkin ramai tidak dapat menerima pandangan Pak Kassim bahawa 
tidak perlu menguasai bahasa Arab untuk memahami Islam termasuk penulis 
sendiri.

Pak Kassim kata, kefahaman Islam terletak pada isi dan bukan pada bahasa, 
tetapi macam mana boleh memahami isi Islam yang terkandung dalam kitab-
kitab bahasa Arab termasuk al-Quran dan hadis jika kita tidak 
memahami bahasanya?

Memang kini sangat banyak pemikiran Islam ditulis dalam bahasa-bahasa 
besar dunia seperti Inggeris dan Perancis. Tetapi itu belum cukup dan apa 
yang penulis sebut sangat banyak itu hanya secebis saja kerana masih 
banyak ruang pemikiran Islam belum diterokai termasuk yang berupa 
manuskrip. 

Selain jika kita mampu pergi ke teks asal dan sumber pertama, kenapa kita 
perlu bergantung kepada huraian dan sumber kedua, ketiga dan sebagainya.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment