Friday, November 25, 2011

Pelajar disyor kuasai Bahasa Arab




SEREMBAN, Ahad - Pelajar disaran menguasai Bahasa Arab selain Bahasa
Melayu dan Inggeris kerana bahasa itu memberi banyak kelebihan kepada
mereka pada masa depan.
  Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed, berkata Bahasa Arab adalah
antara bahasa asing yang sejak dulu sentiasa diberi keutamaan kementerian
kerana bahasa itu adalah bahasa al-Quran.
  Katanya, penguasaan Bahasa Arab memudahkan mempelajari dan memahami isi
kandungan kitab suci itu.
  Bagaimanapun, katanya, Bahasa Arab juga berguna untuk mempelajari bidang
lain seperti perubatan serta memahami adat resam bangsa Arab.
  "Kementerian sudah lama memahami kepentingan Bahasa Arab dengan
menjadikan bahasa itu sebagai subjek pilihan di semua sekolah agama dan
Sekolah Berasrama Penuh (SBP)," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan
oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Abdul Raof Hussin, pada majlis
perasmian Karnival Bahasa Arab SBP pertama di Sekolah Menengah Agama
Persekutuan (SMAP) Labu di sini, semalam.
  Karnival bertemakan `Cintailah Bahasa Al-Quran' diadakan selama tiga
hari mulai Jumaat lalu dan antara program yang diadakan ialah kuiz, seni
mempertahankan diri Arab dan seni khat.
  Musa berkata, kementerian gembira kerana walaupun Bahasa Arab bukan mata
subjek utama, tetapi pelajar dapat berkomunikasi, membaca dan menulis
dalam bahasa itu.
  Katanya, pelajar juga mampu menggunakan bahasa itu terutama dalam majlis
berkaitan agama.
  Sehubungan itu, beliau meminta pelajar bersungguh-sungguh mempelajari
Bahasa Arab dan bahasa asing lain untuk memudahkan mereka menimba ilmu dan
lebih berdaya saing dalam dunia pekerjaan.
  Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak, Mohd
Fahmi Mod Isa, 16, berkata golongan muda sebagai barisan pelapis perlu
menguasai banyak bahasa, termasuk Bahasa Arab.
  Katanya, Bahasa Arab adalah bahasa ketiga yang dikuasainya.
  "Saya gembira mempelajari Bahasa Arab dan bercita-cita meningkatkan
pengetahuan Bahasa Arab pada masa depan," katanya.
                                 (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment