Friday, November 25, 2011

Graduan berkualiti KUIM wajibkan penguasaan bahasa Inggeris, Arab





KOLEJ Universiti Islam Malaysia (KUIM) mewajibkan semua pelajarnya 
menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris dalam usaha menyediakan 
graduan aliran agama yang mampu bersaing di semua peringkat.

Rektor KUIM, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, langkah itu 
merupakan sebahagian daripada strategi KUIM untuk melahirkan graduan 
yang berkualiti.

Tambahnya, keperluan itu juga begitu mendesak berikutan satu lagi kursus 
baru KUIM yang akan diperkenalkan mulai sesi ini iaitu Ekonomi dan 
Muamalat.

"Pelajar harus menguasai kedua-dua bahasa ini kerana ia merupakan 
keperluan dalam pengajaran dan pembelajaran terutamanya di fakulti baru 
tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis Anugerah Khas dan 
Pelancaran Buku Panduan Staf dan Manual Prosedur Kerja KUIM di Kuala 
Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua kursus yang diperkenalkan KUIM 
adalah berdasarkan kehendak pasaran pada hari ini. Justeru katanya, isu 
pengangguran di kalangan graduan aliran agama tidak perlu dibimbangkan 
sangat di KUIM.

Memetik laporan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), beliau berkata, 
graduan agama yang menganggur berada di tahap yang rendah iaitu 8.6 
peratus berbanding 31.1 peratus graduan Sastera, Ekonomi (11.3 peratus), 
Perakaunan (9.2 peratus) dan Pentadbiran Perniagaan (8.8 peratus).

Bagaimanapun katanya, jurusan Pengajian Islam yang ditawarkan di KUIM 
bukanlah berbentuk tradisional semata-mata.

"Sebaliknya semua kursus ini telah disesuaikan dengan kehendak pasaran 
yang relevan walaupun dalam masa 10 tahun akan datang," katanya.

Pada majlis Anugerah Khas tersebut, seramai 25 orang kakitangan yang terdiri 
daripada 14 pegawai lelaki dan 11 pegawai wanita menerima anugerah 
masing-masing.

Anugerah tersebut disampaikan kepada kakitangan yang cemerlang dalam 
perkhidmatan sepanjang tahun 2001.

Ia disampaikan oleh Penasihat Undang-Undang Selangor yang juga 
merupakan ahli lembaga pengarah KUIM, iaitu Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pengerusi Lembaga Pengarah KUIM, Datuk Dr. Yusof Noor pula menerima 
Anugerah Sumbangsih atas sumbangannya dalam sejarah penubuhan KUIM.

Sementara itu Mohd Zawawi berkata, sistem pentadbiran dan kerja yang 
diamalkan KUIM diakui sebagai yang terbaik setakat ini.

Malah laporan dari Kementerian Pendidikan juga katanya, mendapati pelajar 
KUIM antara yang berdisiplin serta mempunyai sahsiah yang tinggi.

Beliau menyifatkan perkembangan ini, disebabkan contoh teladan yang dibawa 
oleh pucuk pimpinan KUIM sendiri.

"Pada saya, KUIM sudah membuktikan bahawa golongan agama atau ustaz-
ustaz mampu mentadbir sesebuah institusi dengan sistematik dan 
menggunakan kaedah moden," katanya.

Justeru katanya, jika sistem kerja tersebut diteruskan, KUIM akan berada 
dalam senarai universiti terkemuka negara pada masa depan.

KUIM merupakan IPTA ke-12 yang ditubuhkan dua tahun lalu, mempunyai 22 
orang pensyarah yang berkelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana dan 11 
orang guru bahasa dengan pelajar seramai 818 orang yang belajar dalam 
empat fakulti.

Pada masa ini, ia beroperasi di kampus sementara di Pandan Indah sebelum 
kampus tetapnya di Nilai, Negeri Sembilan siap pada pertengahan 2004.

Kumpulan pertama pelajar KUIM dijangka bakal menamatkan pengajian dan 
menerima ijazah pada tahun hadapan.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment