Saturday, November 26, 2011

Syarat wajib lulus bahasa Arab membebankan




SAYA merujuk kepada surat tulisan `Tulus Ikhlas' dari Taiping (12 Oktober
1998) yang menyarankan agar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tidak
mewajibkan bahasa Arab untuk pelajar lulus program matrikulasi. Saya
bersetuju dengan saranan beliau dan sebagai pelajar tahun dua pusat
matrikulasi UIA, tentunya saya arif dengan apa yang beliau lalui.
  Saya melihat tindakan UIA mewajibkan bahasa Arab agak membebankan,
khususnya kepada pelajar yang bukan dari sekolah aliran agama.
  Bagi peringkat matrikulasi, seseorang pelajar itu perlu menghabiskan
empat tahap (level) bahasa Arab walaupun ada sesetengah kursus yang hanya
perlu menghabiskan dua atau tiga tahap saja.
  Bagi mereka yang sedia ada pengetahuan asas, pastinya perkara ini tidak
membebankan. Kebanyakan mereka akan mudah melepasi tahap awal dan terus
melompat ke tahap yang lebih tinggi.
  Sebaliknya, bagi kami golongan yang tidak berlatar belakang pendidikan
bahasa Arab ketika di bangku sekolah, adalah menjadi kesulitan yang amat
besar untuk kami mempelajari bahasa Arab di samping menumpukan perhatian
kepada subjek teras yang lain.
  Mempelajari bahasa Arab sememangnya suatu langkah yang dipuji kerana ia
adalah bahasa al-Quran dan tentunya sebagai umat Islam kita tidak mahu
ketinggalan dalam mempelajari bahasa yang mulia ini.
  Malangnya, dari perspektif seorang pelajar yang perlu menghabiskan satu
tahap bahasa Arab dalam tempoh satu semester, bagi saya amatlah
membebankan.
  Apatah lagi ia turut dikira dalam CGPA pelajar. Jelasnya, niat utama
pelajar yang mempelajari bahasa Arab di UIA kini lebih kepada cita-cita
untuk lulus dan memperolehi gred yang baik daripada mendalami dan memahami
bahasa Arab.
  Bagi saya, tempoh dua tahun tidak mencukupi buat kami mempelajari bahasa
Arab. Di sekolah agama pun, pelajar mengambil masa sekurang-kurangnya dua
hingga lima tahun sebelum dapat menulis dan bertutur bahasa Arab dengan
baik.
  Janganlah samakan kami yang baru didedahkan dengan bahasa Arab untuk
bersaing dengan mereka dari sekolah agama, apatah lagi untuk menduduki
peperiksaannya yang nyata begitu mencabar.
  Sekiranya ada yang tidak dapat mengerti perasaan kami yang dicengkam
kepayahan dalam memahami bahasa Arab ini, saya memohon dapatlah kiranya
kita bayangkan detik awal ketika mula mempelajari bahasa asing seperti
bahasa Inggeris.
  Dari mula tidak mengenali walau sepatah kata sehinggalah mampu bertutur
dengan baik. Tentunya ia mengambil masa yang agak panjang.
  Kira-kira 11 tahun sepanjang di sekolah, bahasa Inggeris adalah mata
pelajaran wajib. Di televisyen, radio, penggunaan bahasa Inggeris sangat
meluas. Bahan bacaan dalam bahasa Inggeris juga mudah diperolehi.
  Berbanding bahasa Inggeris, penggunaan Arab tidak meluas di negara kita.
Jadi, bagi kami yang baru mula bertatih ini, apatah lagi dalam usia yang
agak meningkat, amatlah payah untuk kami mengikutinya.
  Tambahan pula ia dijadikan syarat wajib lulus matrikulasi. Maka, ramai
yang sekadar mampu lulus dengan C walaupun berusaha sedaya upaya. Tentunya
ia akan menjejaskan CGPA pelajar.
  Langkah UIA mewajibkan pengambilan bahasa Arab seterusnya menyebabkan
pengajian matrikulasi memerlukan tempoh dua tahun berbanding kebanyakan
universiti lain yang hanya mengambil masa setahun saja.
  Ini bukan saja merugikan masa malah menghabiskan wang ibu bapa yang
terpaksa menanggung perbelanjaan anak. Tidak menghairankan apabila
kemasukan pelajar ke UIA untuk sesi pengambilan 1998/99 yang lalu,
merosot.
  Selain itu, sikap UIA yang menganaktirikan pelajar tempatan juga saya
lihat sebagai satu diskriminasi yang serius.
  Amat menghairankan apabila pihak terbabit tidak ambil kisah dengan
kerenah pelajar asing di UIA berbanding kami pelajar tempatan yang mana
UIA begitu tegas menekankan soal etika pemakaian Muslim/Muslimah sejati
maka kami pelajar Islam tempatan pun menurutinya dengan memakai pakaian
yang menutup aurat, longgar, tudung yang melepasi paras dada dan baju yang
berlengan panjang.
  Anehnya, pelajar asing pula yang sewenang-wenangnya dilihat memakai
pelbagai jenis pakaian yang kebanyakannya jelas bertentangan dengan etika
pemakaian.
  Walaupun diapitkan perkataan `ANTARABANGSA', Universiti Islam kita
tampak gagal menyerlahkan mutu profesionalismenya.
  Memang bahasa pengantara UIA adalah bahasa Inggeris, namun sedih sekali
apabila melihatkan mutu bahasa Inggerisnya tidak ubah seperti di sekolah,
malah saya kira lebih baik ketika di sekolah dahulu.
  Kenyataan ini mungkin agak keras bunyinya tapi demi menegakkan kebenaran
saya tidak sangsi untuk mengetengahkan yang hakiki.
  Semua kuliyah dikendalikan dalam bahasa Inggeris kecuali pengajian
Bahasa Arab dan beberapa subjek yang dijalankan dalam bahasa Arab seperti
Pengajian Ilmu Wahyu.
  Yang menyedihkan ialah bahasa Inggeris yang digunakan tidak mengikut
tata bahasa yang sebenar, selain sebutan yang amat sukar difahami.
Bukankah ini mencerminkan ketidakwibawaan pensyarahnya?
  Saya akui saya sendiri tidaklah begitu mahir dalam bahasa Inggeris namun
apabila saya mampu mengesan kesalahan kecil penggunaan bahasa Inggeris
oleh pensyarah UIA, saya kira tentunya ia sesuatu yang mengaibkan.
  Ia mungkin `dibenarkan' di universiti lain, tetapi sebagai sebuah
universiti bertaraf ANTARABANGSA, bagi saya ia sesuatu yang cukup
mengaibkan.
  Apabila diletakkan di tangga ke bawah dalam penarafan universiti terbaik
Asia tidak lama dahulu (65 daripada 65 percalonan), UIA tidak harus terus
berpeluk tubuh.
  Sesuatu perlu dilakukan. Jangan hanya berpayungkan perkataan
ANTARABANGSA yang bunyinya begitu gah tetapi yang menyerlah ialah
kegagalan.
  Terimalah teguran ikhlas ini untuk kebaikan semua. Saya juga berada di
bawah payung yang sama.

No comments:

Post a Comment