Thursday, November 24, 2011

Betty Benafe Mencari penulis lirik bahasa Arab




SENI

Solekan ASMARANI MOHD. BIDIN (012-2788721)

SEBELUM mencipta nama sebagai pelakon, Betty Benafe terlebih dahulu 
mengasah bakatnya sebagai penyanyi di sekitar Johor bersama adik-
beradiknya. Cuma peluang untuknya menzahirkan impian menjadi penyanyi 
rakaman belum terlaksana. Sehingga hari ini Betty masih lagi mencari ruang.

Menunggu peluang keemasan itulah Betty mencuba nasib dalam bidang 
lakonan. Tanpa diduga lakonan membawa tuah pada Betty. 

Dari satu drama ke satu drama dia ditawarkan berlakon. Akhirnya orang 
lebih mengenali Betty sebagai pelakon.

Biarpun begitu Betty tetap berhasrat untuk menghasilkan album. Betty 
bercadang untuk menghasilkan album penuh berbahasa Arab.

Lantaran inginkan sebuah album bahasa Arab maka sehingga kini Betty 
masih lagi mencari penulis lirik untuk albumnya itu.

"Saya mahukan bahasa yang puitis untuk lagu-lagu dendangan saya ini. 
Ramai yang kata kenapa tidak biarkan penulis lirik tulis dalam bahasa 
Melayu kemudian alih bahasa sahaja. 

"Pada saya tidak sama kerana bahasa Arab itu ada keindahan tersendiri. 
Sebab itulah kalau ada sesiapa yang boleh tulis lirik puitis dalam bahasa 
Arab tolonglah hubungi saya,'' katanya yang tidak sabar untuk tampil dengan 
album sulung itu.

Projek album Betty bermula sejak tahun 2000 hingga kini masih lagi dalam 
proses. Ketiadaan penulis lirik yang sesuai menyebabkan Betty letih 
menjawab soalan berkaitan album sulungnya itu.

Sebagai meneruskan kerjaya seninya, Betty kini giat berlatih teater Demi 
Zaiton di bawah arahan Datuk Nordin Hassan. Ini adalah drama pertama 
arahan Nordin Hassan setelah 10 tahun tidak mengarah teater.

Demi Zaiton

Demi Zaiton turut menampilkan pelakon Shahron Nizam, Adman Salleh, 
Ahmad Tarmimi Serigar, Norzizi Zulkefli, Normala Omar dan Sarah Shahrom 
akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka 
(DBKL) pada 29 Julai hingga 7 Ogos ini.

Menerusi teater muzikal yang skripnya dihasilkan oleh Nordin, Betty berlakon 
sebagai Tina, anak seorang usahawan yang menuntut di luar negara.

"Saya gembira berlakon di bawah arahan pengarah teater ternama itu. Inilah 
masanya untuk saya menambah ilmu lakonan,'' katanya terus terang.

Dalam teater itu nanti, Betty turut mendendangkan lagu yang dicipta oleh 
Pak Ngah.

Demi Zaiton merupakan teater kedua lakonan Betty. Sebelum ini dia pernah 
diberi peluang mempersembahkan teater monolog arahan Wahab Hamzah 
di Muzium Negara pada tahun lalu.

Betty Benafe yang dicalonkan bagi kategori Pelakon Harapan pada Festival 
Filem Malaysia Ke-17 baru-baru ini tidak sedih ditewaskan oleh Nur Fazura.

Sebaliknya Betty yang dicalonkan menerusi filem Buai Laju-Laju arahan U-
Wei Saari itu percaya akan ada peluang kedua untuknya di masa akan 
datang.

"Walaupun tewas saya tetap gembira kerana rata-rata yang datang kepada 
saya memberikan kata-kata semangat. Saya percaya jika kita buat sesuatu 
dengan ikhlas, akan ada imbuhannya,'' katanya yang turut dicalonkan 
bersama Fasha Sandha menerusi filem Berlari Ke Langit untuk kategori 
tersebut.

Jelas Betty, Buai Laju-Laju merupakan filem pertama lakonannya setelah 
dua tahun membabitkan diri secara serius dalam bidang lakonan.

"Lakonan drama dan filem adalah berbeza. Saya mengasah bakat menerusi 
drama kerana sedar saya bukan pelajar ilmu lakonan. 

"Jadi saya perlu mengasah bakat terlebih dahulu. Dari situ bila lakonan saya 
bagus orang akan tawar berlakon di layar yang lebih besar,'' katanya yang 
senang berlakon di bawah arahan U-Wei dan pelakon ternama.

Antara pelakon yang menjayakan Buai Laju-Laju ialah Eman Manan dan 
Khalid Salleh.

Secara realistik, U-Wei sering memilih pelakon yang berkelayakan dan 
bukan berdasarkan kepada rupa paras. Malah kebanyakan filem yang diarah 
oleh U-Wei berbeza.

"Bila saya digandingkan dengan pelakon hebat, saya harus 
memperlengkapkan diri untuk menjadi hebat seperti mereka. Jika asyik fikir 
bolehkah aku berlakon dengan orang ternama begitu, pasti tidak boleh.

"Sebenarnya berlakon dengan orang berpengalaman seperti Eman Manan 
dan Khalid Salleh merupakan cabaran kepada saya. Saya kena bekerja dua 
kali ganda untuk meletakkan diri setanding dengan mereka,'' katanya.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment