Friday, November 25, 2011

Syor sediakan kelas bahasa Arab berasingan




SEKOLAH kebangsaan perlu menyediakan kelas bahasa Arab tersendiri sama
seperti kelas bahasa lain dan tidak memasukkan kelas bahasa itu di bawah
pengajian pendidikan Islam.
  Pensyarah Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), Prof Madya Dr Rosnani Hashim, berkata walaupun bahan yang
digunakan ketika mengajar bahasa Arab mungkin berkaitan dengan agama
seperti menggunakan kitab atau al-Quran, tetapi ia berbeza dengan
Pendidikan Islam.
  "Kelas bahasa Arab yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan sepatutnya
diadakan berasingan daripada kelas Pendidikan Islam kerana bahasa Arab
adalah bahasa antarabangsa," katanya.
  Dr Rosnani berkata, jika dimasukkan ke dalam sukatan Pendidikan Islam,
ini bermakna guru subjek itu akan mengajar dalam bahasa Arab dan
kemungkinan mereka sendiri tidak mahir menggunakan bahasa itu.
  Guru yang akan mengajar bahasa Arab hendaklah guru bahasa terlatih. Ini
kerana dikhuatiri mutu pengajaran akan terjejas jika guru Pendidikan Islam
yang tidak mempunyai kelayakan bahasa, mengajar bahasa Arab kepada
pelajar.
  Dr Rosnani berkata, pelajar yang ingin menguasai bahasa Arab dengan
baik, perlu mengikuti kelas dan kitab yang menggunakan bahasa Arab
sepenuhnya, bukan terjemahan.
  "Cara itu dapat melahirkan ulama yang cukup berkelayakan melalui sistem
sekolah kebangsaan, di mana mereka boleh melanjutkan pelajaran ke
universiti selepas itu, tanpa masalah dan pada masa sama, melahirkan guru
yang mahir berbahasa Arab," katanya.
  Malah, katanya, bahasa Arab wajar diperkenalkan kepada murid seawal
tahun satu supaya mereka boleh merangka perancangan dan pengkhususan yang
sesuai apabila di tingkatan empat kelak.
  Pada masa sama, Dr Rosnani berkata, peluang untuk mendalami pengajian
Islam perlu diperluaskan di semua sekolah menengah kebangsaan supaya
pelajar yang berminat mempunyai ruang belajar bahasa itu.
  Masalahnya ialah, tempat terhad untuk pelajar yang ingin mengikuti
pengajian agama. Ketika ini, subjek Pengajian Islam lebih khusus hanya
diajar di Sekolah Menengah Agama, Sekolah Menengah Agama Persekutuan dan
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama terpilih saja.
  "Jika seseorang pelajar berminat untuk mengikuti pengajian agama, mereka
harus berpindah ke sekolah lain yang menawarkannya," katanya.
  Katanya, cara terbaik untuk meningkatkan subjek agama di kalangan
pelajar ialah dengan membuka aliran agama di sekolah kebangsaan, sama
seperti aliran sains, sastera dan perdagangan.
  Cara ini pasti dapat memberi ruang kepada pelajar untuk memilih dan
meluaskan subjek itu sendiri pada masa depan.
                              (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment