Friday, November 25, 2011

Bahasa Arab lemah punca pelajar gagal




KEBANYAKAN lulusan Universiti Al-Azhar mengakui masalah bahasa menjadi
punca utama pelajar Malaysia gagal dalam peperiksaan. Menurut mereka,
pelajar Malaysia yang menuntut di universiti itu mempunyai asas bahasa
Arab yang lemah.
  Beberapa orang bekas pelajar Universiti Al-Azhar ketika dihubungi
memberikan pandangan mengenai beberapa faktor kegagalan mereka.
  Mereka juga mengakui faktor cuaca panas dan sejuk, kekurangan sumber
kewangan, terlalu bergantung kepada nota kuliah dan terpangaruh dengan
kegiatan politik kepartian turut menyumbang kepada kegagalan sejak akhir-
akhir ini.
  Bekas pegawai agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz yang
kini pendakwah bebas berkata, kurangnya persediaan menjadi punca utama
kegagalan itu.
  "Pelajar kita mempunyai asas bahasa Arab yang lemah, sedangkan kursus di
sana dikendalikan sepenuhya dalam bahasa Arab. Kita perlu mengambil
langkah segera menangani masalah bahasa," katanya.
   Beliau sebagai lulusan Al-Azhar awal 80-an mencadangkan pelajar yang
ingin melanjutkan pelajaran di Asia Barat terutama Al-Azhar, didedahkan
dengan sukatan pelajaran sekolah menengah di Mesir sebagai persediaan
awal.
  "Dengan cara ini, mereka dapat membiasakan diri dengan kaedah
pembelajaran di Mesir yang memudahkan mereka apabila melanjutkan pelajaran
di Al-Azhar kelak," katanya.
  Selain itu, katanya, faktor kewangan juga menyumbang kepada keciciran
pelajar kita di Al-Azhar.
  "Ramai pelajar kita mengalami masalah kewangan kerana tiada biasiswa
atau pinjaman pelajaran. Keadaan ini menekan perasaan dan menjejas tumpuan
mereka dalam pelajaran menyebabkan mereka gagal dalam peperiksan,"
katanya.
  Seorang lagi lulusan Universiti Al-Azhar, Dr Mashitah Ibrahim berkata,
selain bahasa, faktor persekitaran juga menyebabkan pelajar Malaysia gagal
dalam peperiksaan.
  "Cuaca di sana berbeza di Malaysia. Apabila panas, ia terlampau panas
dan apabila sejuk, ia terlalu sejuk. Keadaan ini menjadikan badan kita
lemah sehingga tidak mampu keluar rumah," katanya.
  Menurut beliau, apabila badan lemah, tentu tumpuan terhadap pelajaran
juga kurang kerana otak cerdas berpunca daripada badan yang cergas.
  Beliau yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
berkata, sistem pendidikan Al-Azhar jauh berbeza dengan di Malaysia.
  "Di sana pelajar perlu mengubah sikap kerana banyak perkara harus
dilakukan sendiri. Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pensyarah
atau pihak universiti," katanya.
  Bagaimanapun, Dr Mashitah berkata, pelajar mesti menyahut cabaran itu
dengan positif.
  "Kita bukan saja perlu mengubah diri untuk memenuhi keperluan sistem
pendidikan di sana, malah diri sendiri juga perlu berubah. Di sana, saya
dan rakan dari Malaysia belajar erti kesabaran dan jihad yang sebenar,"
katanya.
  Pegawai Zakat Pusat Zakat Wilayah Persekutuan, Ahmad Shukri Yusoff
berkata, ada segelintir pelajar yang lupa tanggungjawab mereka dan tidak
mengambil serius dalam pelajaran.
  "Kebanyakan mereka memberi alasan belajar agama berbeza dengan bidang
lain. Oleh itu, lebih lama belajar lebih baik," katanya.
  Menurut beliau, sebab itu ada segelintir pelajar yang sengaja
menggagalkan peperiksaan akhir mereka kerana mahu duduk di sana lebih
lama.
  "Biasanya, mereka belajar melalui pembiayaan keluarga. Sebab itu, mereka
tidak terikat dengan syarat biasiswa yang memberi amaran tegas kepada
pelajar yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan," katanya.
  Bagaimanapun, beliau yang menuntut di universiti itu pada 1990 berjaya
menamatkan pelajarannya pada 1994 iaitu selepas empat tahun.
  Beliau juga menyangkal pendapat belajar agama memerlukan tempoh yang
lama kerana ia merugikan individu terbabit.
  Negara juga kerugian tenaga dan fikiran mereka yang arif dalam agama
untuk sama-sama menyumbang demi pembangunan negara.
  Pengerusi Institut Kafahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Ismail Ibrahim
berkata, sikap pelajar yang tidak meletakkan keutamaan kepada sesuatu
perkara mengikut kepentingannya, menyebabkan mereka gagal dalam
peperiksaan. Mereka sebaliknya sibuk dengan kegiatan luar yang
menghilangkan tumpuan kepada pelajaran.
  Beliau juga tidak menolak kemungkinan pelajar berkenaan terbabit dengan
kegiatan politik kepartian.
  Menurutnya, sudah menjadi sikap semula jadi pelajar yang antikerajaan
terlalu aktif dalam politik kepartian sehingga melupakan tanggungjawab
mereka sebagai pelajar.
  Bagaimanapun, yang lebih penting mereka tidak memahami soal pengurusan
masa dan memberi tumpuan berlebihan kepada kegiatan sampingan sehingga
mengurangkan tumpuan mereka kepada pelajaran.
  "Mereka boleh terbabit dengan politik tetapi jangan sampai terlalu
taksub sehingga lalai dalam pelajaran. Ini tidak, seolah-olah mereka
datang ke Al-Azhar untuk berpolitik dan bukan belajar," katanya.
  Beliau yang tamat pengajian peringkat sarjana pada 1967, menyeru pelajar
terbabit lebih bertanggungjawab terhadap diri dan negara.
  Katanya, imej negara akan tercemar jika saban tahun hampir separuh
daripada pelajar Malaysia di Al-Azhar terkandas dalam peperiksaan.
                                (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment