Thursday, November 24, 2011

Suami isteri rintis cara mudah belajar bahasa Arab




BAHASA Arab memberi sumbangan kepada alam semesta. Sesungguhnya, inilah
satu-satunya bahasa yang dijamin oleh Allah akan terus terpelihara.
  Berakhirnya sumbangan bahasa Arab kepada tamadun dunia bermakna berakhir
juga hayat dunia ini.
  Kesedaran bahawa bahasa Arab semakin terpinggir memberi inspirasi kepada
pasangan suami isteri, Abdullah Zaid Tohirin dan Siti Afifah Shahbudin
mewujudkan Bahasa Arab Bestari (Bab) al-Kauthar yang membolehkan sesiapa
menguasai bahasa berkenaan dalam tempoh singkat.
  Bab al-Kauthar adalah program pengajian tiga dalam satu, yang menekankan
penguasaan al-Quran, jawi dan bahasa Arab secara serentak.
  Menerusi keistimewaan itu, pelajar tanpa mengira usia dan latar belakang
akan mampu membaca termasuk perkataan tanpa baris dalam tempoh singkat, di
samping dapat membina ayat sendiri dan berkomunikasi mengikut nahu betul.
  Pengasas Bab al-Kauthar, Abdullah memberi jaminan bahawa bahasa Arab
adalah bahasa yang mudah dipelajari mengikut kaedah yang dicipta bagi
pakej enam bulan.
  "Insya-Allah, semuanya bergantung kepada keupayaan diri sendiri.
  "Malah jika mengikuti kaedah yang dijalankan oleh kami secara
sistematik, penguasaan bahasa Arab itu boleh disingkatkan hingga empat
bulan.
  "Ini berdasarkan pengajian melalui Bab al-Kauthar yang menggunakan
teknik bestari terbaru iaitu at-talqin, langkah demi langkah, sistem
fonetik Arab, pembelajaran berformula dan berirama yang pertama
diperkenalkan di Malaysia.
  "Sehubungan itu, seseorang mampu menguasai bahasa Arab yang bukan
setakat memahami dan mengingati dalam minda mereka, malah penggunaan
bahasa itu dapat dijiwai untuk kegunaan harian, pekerjaan dan belajar,"
katanya.
  Bekas pelajar kejuruteraan jentera Universiti Teknologi Malaysia
menyifatkan hasil perantauan selama 15 tahun dalam dan luar negara,
menjadikan beliau gigih untuk melihat bahasa Arab tidak terpinggir, lebih-
lebih lagi di Malaysia yang diiktiraf sebagai model negara Islam yang
maju.
  Abdullah pernah mendalami ilmu agama di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan
selama empat tahun dan melanjutkan pelajaran di Maahad Pengajian Islam dan
bahasa Arab di Pakistan serta Universiti Al-Azhar, Mesir.
  Katanya, sambutan terhadap program itu menggalakkan dan lebih 1,000
orang mempelajarinya di seluruh negara.
  "Kami juga bangga dengan keprihatinan Jabatan Agama Johor untuk
memperkenalkan pembelajaran dan pendidikan Bab al-Kauthar di peringkat
rendah. Ini langkah proaktif dalam memastikan bahasa Arab mudah difahami,
dipelajari dan diamalkan sebagai ilmu serta kegunaan harian," katanya.
  Siti Afifah pula berkata, matlamat Bab al-Kauthar untuk merangsang minat
generasi muda mendalami bahasa Arab serta mengembangkan fungsinya sebagai
bahasa komunikasi dan perdagangan. Selain itu, ia bagi mempertahankan
bahasa itu sebagai syiar Islam.
                                (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment