Thursday, November 24, 2011

Cadangan pelajar Islam kuasai bahasa Arab dapat reaksi positif




BANDAR JENGKA 25 Feb. - Cadangan kerajaan untuk mewajibkan pelajar 
Islam menguasai bahasa Arab dan khatam al-Quran di peringkat sekolah 
rendah mendapat reaksi positif daripada pelbagai lapisan masyarakat di 
negeri ini.

Mereka menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan 
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berusaha keras 
dalam mendidik rakyat celik al-Quran dan bahasa Arab.

Seorang peguam, Ismail Mohd Said, 40, berpendapat, kerajaan BN amat 
peka akan kepentingan khatam al-Quran dan menguasai bahasa Arab dalam 
usaha menggalakkan umat Islam di negara ini menimba sebanyak 
mungkin ilmu pengetahuan.

"Lagi pun pada masa ini bahasa Arab merupakan salah satu bahasa utama 
dunia yang dituturkan oleh ratusan juta manusia khususnya daripada negara 
Arab dan Islam di seluruh dunia.'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini 
hari ini.

Ismail diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah 
Ahmad Badawi kelmarin yang memberitahu kerajaan akan mewajibkan 
pelajar Islam menguasai bahasa Arab dan khatam al-Quran bagi 
mengelakkan minda mereka diseleweng oleh pihak tertentu.

Seorang kontraktor, Nasaruddin Abdullah, 42, menyambut baik saranan 
Perdana Menteri itu kerana ia dengan secara tidak langsung akan 
menggalakkan generasi muda Islam negara ini meningkatkan penguasaan 
mereka dalam bahasa Arab dan al-Quran sejak di bangku sekolah rendah 
lagi.

Katanya, penguasaan bahasa Arab dan khatam al-Quran dalam usia muda 
dapat membantu mereka memahami bahasa itu dengan mudah serta 
mampu mentafsir ayat-ayat suci al-Quran dengan tepat.

"Generasi muda pewaris kepimpinan negara ini akan lebih berilmu dan tidak 
mudah dipersendakan dengan fatwa atau kenyataan mengelirukan oleh 
segelintir pihak yang berkepentingan politik,'' katanya.

Seorang usahawan, Ahmad Sabrey Idris, 49, pula menyifatkan usaha 
penyuburan bahasa Arab dan al-Quran di kalangan rakyat dapat membantu 
melahirkan generasi muda yang berpengetahuan agama.

Justeru katanya, ibu bapa perlu memberi sokongan kepada usaha murni 
kerajaan itu supaya anak-anak mereka berpeluang mendalami bahasa Arab 
dan al-Quran dengan lebih bersistematik.

Ketua Kampung Felda Mawar Jengka 10, Jantan Mat Saman, 54, berkata, 
langkah kerajaan itu secara tidak langsung membuktikan pucuk kepimpinan 
negara sentiasa berusaha mengukuhkan syiar Islam di negara ini.

Menurut beliau, saranan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri itu diyakini 
akan dapat mendidik remaja negara ini terhadap bidang ilmu yang menjurus 
kepada pengetahuan Islam.

Seorang peneroka, Hamzah Tawang, 49, dari Felda Sena Jengka 16, 
berpendapat, langkah kerajaan itu dipercayai akan dapat menarik golongan 
muda mengamalkan gaya hidup Islam yang sejati dan tidak mudah 
dipengaruhi dengan gejala tidak sihat.

Katanya, sistem pendidikan negara yang tidak mengabaikan proses 
pembelajaran al-Quran dan bahasa Arab berupaya memberi impak besar 
terhadap usaha mengukuhkan pendidikan Islam di kalangan rakyat.

Seorang kakitangan kerajaan, Azlin Abdullah, 39, menjelaskan, langkah 
tersebut berupaya membentuk generasi muda yang bukan sahaja memiliki 
pengetahuan duniawi tetapi juga ilmu akhirat. 

Beliau turut melahirkan keyakinannya bahawa usaha murni kerajaan itu akan 
mendapat sokongan padu daripada rakyat bagi memastikan generasi muda 
dibekalkan dengan kemahiran bahasa Arab dan celik al-Quran.

Seorang lagi kakitangan kerajaan, Ishak Awang Nit, 38, pula optimis 
terhadap saranan Perdana Menteri itu akan dapat mencetuskan semangat di 
kalangan generasi muda untuk mempelbagaikan ilmu pengetahuan yang 
mereka miliki. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment