Friday, November 25, 2011

MPP Kuim bantu tingkat penggunaan bahasa Arab




MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP), Kolej Universiti Islam Malaysia (Kuim)
akan membantu pihak pengurusannya membudayakan penggunaan bahasa Arab di
institusi pengajian tinggi itu dan di kalangan orang awam.
  Yang Dipertuanya, Nisar Mohammad Ahmad, berkata Kuim amat menekankan
penggunaan bahasa Arab dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta
menggalakkan pelajar bertutur dan menulis dalam bahasa berkenaan sama ada
di dalam atau luar kelas.
  Beliau berkata, matlamat jangka panjang MPP dan Kuim sendiri ialah
membudayakan penggunaan bahasa Arab di kalangan masyarakat, bermula dengan
pelaksanaan bahasa berkenaan di peringkat kolej universiti itu.
  "Selain Kuim dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti
Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan
beberapa universiti lain serta kolej swasta mempunyai program bahasa Arab
di peringkat ijazah, diploma atau sebagai subjek pilihan.
  "MPP bercadang mengadakan pertandingan debat atau pidato bahasa Arab di
kalangan institusi ini untuk meluaskan penggunaan bahasa Arab dan
mengangkat nilainya dalam masyarakat.
  "Ketika ini, orang ramai menganggap bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran,
tetapi kita boleh menyebarluaskan bahasa ini sebagai bahasa kedua, sama
seperti peranan bahasa Inggeris," katanya ketika ditemui di Kampus
Sementara Kuim, di Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
  Selain menganjurkan debat bahasa Arab, katanya, MPP Kuim seperti badan
pelajar universiti lain juga memperjuang kebajikan mahasiswa, terutama
mendapatkan penjelasan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional mengenai tajaan pengajian.
  Beliau berkata, MPP Kuim juga akan menganjurkan seminar kepemimpinan
pelajar antarabangsa membabitkan semua universiti negara ini dan beberapa
di Asia.
  Sementara itu, MPP Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyatakan
kesediaannya untuk bekerjasama dengan MPP Kuim bagi menganjurkan pertemuan
pemimpin pelajar.
  Yang Dipertuanya, Raja Restam Azrin Raja Jaafar, berkata seminar
berkenaan penting untuk membina hubungan antara kepemimpinan pelajar
negara ini dengan Asia Tenggara.
  Sebagai persediaan, beliau berkata, MPP UiTM bercadang menghimpunkan
semua MPP di 12 kampus cawangan bagi mengadakan mesyuarat bersama dengan
menyatukan agenda untuk dibentangkan dalam Majlis Perundingan Pelajar
Kebangsaan tahun ini.
  "Seminar ini juga akan mengeluarkan resolusi keamanan bagi diserahkan
kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
  "Resolusi ini kemudian akan diserahkan kepada delegasi Sidang Kemuncak
Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) ke-13 di Kuala Lumpur untuk menyatakan
pendirian sejuta rakyat Malaysia bahawa kita mahukan keamanan," katanya.
  Raja Restam berkata, MPP UiTM juga akan menganjurkan lawatan sambil
belajar ke universiti luar negara untuk melihat sendiri suasana pengajaran
dan pembelajaran universiti terkemuka.
  Dari segi kebajikan pelajar, MPP itu akan meneruskan perjuangan sebelum
ini untuk menyelaras permohonan pelajar luar kampus yang layak menerima
makanan percuma di kolej kediaman.
                              (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment