Friday, November 25, 2011

Kurikulum bahasa Arab perlu disemak





JAWATANKUASA kurikulum bahasa Arab di semua institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) perlu menyemak semula keberkesanan kurikulum dan sukatan
pelajaran bahasa itu sedia ada bagi mengenal pasti kelemahan, kemudian
mengatasinya dengan segera.
  Bagaimanapun, semakan semula bagi mempertingkat lagi keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di IPTA itu harus turut mengambil
kira langkah tertentu, termasuk memastikan objektif pengajaran ditetapkan
mampu dicapai berdasarkan faktor masa, kemudahan dan keupayaan pelajar.
  Pensyarah Jabatan Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Naimah
Abdullah dan Norhayuza Muhamad, dalam kertas kerja bertajuk `Ke Arah
Keberkesanan dan Pemantapan Pengajaran Bahasa Arab Sebagai Bahasa Asing',
berkata kandungan pelajaran bahasa Arab bagi setiap semester tidak harus
terlalu banyak sehingga tidak sempat dipelajari semuanya.
  Dalam konteks ini, mereka berkata, mutu serta keberkesanan pengajaran
bahasa itu akan terjejas sekiranya pensyarah terpaksa `terkejar-kejar'
untuk menghabiskan silibus yang banyak.
  Selain itu, pemberatan serta penekanan aspek yang diajar perlu
diseimbangkan supaya semua kemahiran terbabit, iaitu mendengar, menyebut,
menulis dan bertutur, dapat dikuasai pelajar dengan berkesan, bukan saja
untuk tujuan peperiksaan malah penggunaan bahasa berkenaan.
  "Buku teks harus turut dikaji semula agar bersesuaian dengan kurikulum
dan sukatan pelajaran baru dengan memikirkan sebuah buku teks yang tidak
terlalu banyak serta padat kandungannya, tetapi mencakupi semua aspek
perlu dikuasai.
  "Begitu juga dengan penyediaan buku latihan untuk meningkatkan kemahiran
bahasa pelajar di luar kelas. Ini memandangkan tempoh pengajian di IPTA
untuk satu semester pendek, iaitu tidak melebihi empat bulan, manakala
masa diperuntukkan bagi mata pelajaran Bahasa Arab sebagai bahasa ketiga
pula terlalu sedikit.
  "Justeru, dicadangkan bahan pengajaran disediakan bagi setiap semester
adalah dalam bentuk pakej yang mengandungi empat jenis buku, iaitu teks,
kamus atau glosari, panduan tatabahasa dan latihan," kata mereka.
  Kertas kerja mereka dibentangkan pada `National Seminar on Second
Foreign Language Learner and Learning' anjuran Fakulti Bahasa, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
  Naimah dan Norhayuza berkata, dapatan kajian sebelum ini rata-rata
menunjukkan pelajar Melayu yang mempelajari bahasa Arab, gagal menguasai
kemahiran berbahasa.
  Kata mereka, pelajar Melayu yang mempelajari bahasa Arab, sama ada di
sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT), menghadapi masalah dan
juga kesukaran untuk berkomunikasi dalam bahasa berkenaan dengan baik.
  "Kelemahan pelajar dikenal pasti dari pelbagai aspek tatabahasa seperti
sintaksis, ejaan, kosa kata dan morfologi. Kelemahan ini sering dilihat
kepada faktor bahasa Arab yang tergolong daripada ciri bahasa
infleksi,"kata mereka.
  Mereka menegaskan, pihak pengurusan akademik di IPTA harus mempertimbang
beberapa aspek utama bagi menjamin pengajaran bahasa asing, khususnya
bahasa Arab, benar-benar berjaya, memberi kesan positif dan dapat dikuasai
pelajar dengan baik.
                              (END)  Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment