Friday, November 25, 2011

Cuma 5 peratus pelajar kita di Al-Azhar kuasai bahasa Arab





GEORGETOWN: Hanya lima peratus, iaitu 300 daripada 6,000 pelajar Malaysia
yang menuntut di Universiti Al-Azhar sejak beberapa tahun lalu, mampu
menguasai dan bertutur bahasa Arab dengan baik.
  Ini menunjukkan sebahagian besar daripada pelajar berkenaan belum
berupaya menguasai dan dapat bertutur dengan baik bahasa itu walaupun
sudah beberapa tahun belajar dan menetap di Mesir, kata Ahli Majlis
Tertinggi Umno, Datuk Dr Noraishah Mohamad.
  Beliau berkata, faktor kelemahan itu menyebabkan pelajar Malaysia
terpaksa membawa teman sekuliah yang boleh bertutur dalam bahasa itu
ketika membeli-belah di bandar Kaherah sebagai penterjemah.
  "Dalam beberapa kali lawatan ke universiti itu di Kaherah, saya dapati
daripada enam pelajar Malaysia yang pergi membeli barang keperluan di
kedai, hanya seorang saja boleh bertutur dalam bahasa Arab bagi memudahkan
urusan pembelian di kedai berkenaan," katanya.
  Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Pelajar
Cemerlang UPSR 2002 dan Bantuan Kepada Pelajar Miskin anjuran Sekolah
Kebangsaan Bayan Lepas, dekat sini, semalam.
  Dr Noraishah yang juga bekas Pengerusi Bank Rakyat berkata, kegagalan
pelajar Malaysia menguasai bahasa Arab di universiti amat memalukan kerana
sesetengah orang Arab di Kaherah terutama pekedai kini sudah dapat
bertutur bahasa Malaysia dengan baik.
  Katanya, faktor utama mengapa perkara itu berlaku ialah disebabkan
sistem pengambilan pelajar yang diamalkan oleh universiti Islam tertua
berkenaan adalah longgar.
  "Sesiapa saja boleh belajar di sana asalkan pernah belajar di sekolah
agama. Akibatnya kuliah universiti menjadi padat dengan pelajar," katanya.
  Noraishah berkata, kebanyakan pelajar termasuk pelajar Malaysia tidak
selesa menghadapi keadaan seperti itu menyebabkan mereka bergantung kepada
nota yang diedarkan oleh rakan-rakan dalam proses pembelajaran bagi
menghadapi peperiksaan.
  "Kerana hanya bergantung kepada nota, pelajar sering gagal dalam
peperiksaan kerana tidak dapat menguasai bahasa Arab dan mata pelajaran
lain. Sebab itu ada yang terpaksa tinggal selama 10 tahun di Mesir bagi
meneruskan pengajian sehingga lulus," katanya.
  Justeru katanya, umat Islam di negara ini janganlah terlalu taksub
dengan menyanjungi lulusan universiti itu kerana walaupun mereka tinggal
10 tahun di Mesir belum tentu ilmu agama yang mereka bawa pulang ke tanah
air lengkap.
                                (END) Source : Berita Minggu

No comments:

Post a Comment