Thursday, November 24, 2011

GENERASI BARU PERLU AMANAH SERTA KUASAI BAHASA ARAB DAN INGGERIS


KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Graduan generasi baru dalam bidang agama
bukan sahaja perlu amanah, berwibawa tetapi juga perlu menguasai bahasa Arab dan
Inggeris, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir
Baharom, hari ini.
    Beliau berkata adalah penting bagi graduan untuk menguasai kedua-dua bahasa
itu sebagai nilai tambah kepada diri mereka apabila berada dalam sektor
pekerjaan kelak. 
    "Kelebihan yang ada pada Malaysia ialah ia memiliki pakar-pakar dalam bidang
perbankan Islam yang dapat menyelami kitab-kitab Arab di samping memiliki
kemahiran dalam bahasa Inggeris," katanya.
    Beliau berkata situasi industri kewangan dan pasaran perbankan Islam dunia
yang tidak menentu pada masa ini mewujudkan permintaan terhadap golongan
profesional kewangan Islam, terutama individu yang mahir dalam Syariah serta
berpengetahuan dengan amalan industri perbankan yang terkini.
    Jamil Khir berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis
menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Amanah Raya Berhad
(AmanahRaya) dan Yayasan Taqwa, sebuah agensi di bawah Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan (MAIWP).
    AmanahRaya diwakili Pengarah Urusannya Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh dan
Yayasan Taqwa diwakili Pengurus Besarnya, Mohd Ayob Ibrahim.   
    Pada majlis itu seramai 29 orang pelajar cemerlang lulusan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari seluruh negara
menerima biasiswa AmanahRaya dan Yayasan Taqwa bagi mengikuti pengajian dalam
bidang Pengajian Islam di Universiti Al Azhar, Mesir.
    Seramai 14 orang pelajar ditaja oleh AmanahRaya dan 15 orang lagi mendapat
penajaaan Yayasan Taqwa dan mereka bakal mengikuti pengajian selama lima tahun
iaitu setahun bagi pengajian Pra Al Azhar, program khusus untuk meningkatkan
kefahaman dan kemahiran bahasa Arab dan empat tahun lagi pengajian di peringkat
ijazah.
    Beliau berkata pelajar berkenaan terdiri daripada pelajar terbaik yang akan
ditawarkan ke program Sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) jika memiliki
keputusan cemerlang.
    Mereka ditawarkan mengikuti program Pengajian Sosial Sains Islam dengan
pengkhususan dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam di Universiti Al-Azhar,
Mesir. 
    Program pengajian itu dengan pengkhususan dalam bidang Kewangan dan
Perbankan Islam merupakan program terbaru yang ditawarkan kepada pelajar
Malaysia di universiti terkemuka itu. 
    -- BERNAMA
    SZA KAM SN

No comments:

Post a Comment