Friday, November 25, 2011

Teruskan ART: Bahasa Arab untuk semua bangsa





Saudara Pengarang,

TAHNIAH kepada Astro kerana telah memperkenalkan beberapa saluran baru 
bermula awal tahun ini. Ini menunjukkan bahawa Astro kini melangkah setapak 
lagi dalam usaha untuk meluaskan minda masyarakat, bersesuaian dengan 
matlamat untuk menghibur dan mendidik.

Saya bersetuju dengan saranan Al-Shoubrawi di ruangan ini agar saluran ART 
dan Al-Jazira diteruskan siarannya. Ternyata saranan dan pandangan Lembah 
Keramat adalah berdasarkan kepada pemikiran yang agak cetek dan tidak 
memandang kepada beberapa aspek positif yang lain.

Kita tidak boleh mengukur agama seseorang berdasarkan bahasa dan bangsa. 
Maksud saya di sini, adakah Lembah Keramat berpendapat bahawa semua 
bangsa Arab yang bertutur dalam bahasa Arab itu beragama Islam dan perlu 
mempunyai imej yang menggambarkan keislaman.

Bahasa Arab bukanlah dikhususkan hanya untuk bangsa Arab. Adakah kerana 
Rasul Junjungan kita berbangsa Arab, maka kita mengatakan bahawa bahasa 
al-Quran itu adalah milik bangsa Arab?

Bahasa Arab merupakan bahasa yang universal yang selayaknya dituturkan 
oleh semua bangsa di dunia ini bergantung kepada kemahuan, kehendak dan 
keperluan seseorang individu.

Ingin saya ajukan di sini, adakah Lembah Keramat akan berasa hairan 
sekiranya seseorang yang berbahasa Cina dan bukan beragama Islam dapat 
bertutur bahasa Arab dengan fasih? Adakah kerana beliau seorang Cina dan 
bukan Islam, maka beliau tidak layak bertutur dalam bahasa tersebut? 
Fikirkan.

Bangsa Arab juga adalah manusia biasa, sama juga seperti bangsa-bangsa 
lain di dunia ini yang sememangnya tidak akan terlepas daripada melakukan 
dosa dan diberi peluang berbuat pahala.

Begitu juga dengan kita bangsa Melayu. Adakah semua bangsa Melayu yang 
mengaku Islam mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya? Tidak pernahkah 
kita menonton rancangan-rancangan hiburan tempatan di kaca TV?

Dipelopori

Bukankah rata-rata rancangan hiburan di Malaysia dipelopori oleh bangsa 
Melayu yang beragama Islam? Siapa tidak kenal dengan Siti Nurhaliza artis 
tempatan paling popular. Begitu jugalah dengan artis-artis yang berbangsa 
Arab seperti Amr Diab, Paschalle Maschalani, Amal Hijazi dan ramai lagi yang 
kini sedang menempa nama di persada antarabangsa.

Mereka juga berada dalam bidang yang sama seperti artis-artis kita... Siti, 
Yasin, M. Nasir dan ramai lagi. Mengapa Lembah Keramat menghukum ART 
dan Al-Jazira sahaja?

Saya pasti, sebagai pelanggan Astro, Lembah Keramat tidak akan terlepas 
daripada menonton saluran-saluran lain seperti Astro Ria. Hallmark, MTV, 
HBO, Star Movies, Cinemax dan banyak lagi. Hairan juga, mengapa Lembah 
Keramat tidak menyarankan agar saluran-saluran tersebut turut dihentikan 
segera.

Saya tidak menafikan bahawa setiap saluran televisyen mempunyai kebaikan 
dan keburukan tersendiri. ART dan Al-Jazira juga tidak terkecuali. Dalam 
konteks ini, pemilihan program yang hendak ditonton adalah bergantung 
kepada seseorang individu itu sendiri. Seperti yang dinyatakan oleh Al-
Shoubrawi, ART dan Al-Jazira turut menyajikan program-program bercorak 
pendidikan dan pengetahuan yang berfaedah yang mungkin tidak disajikan 
oleh saluran-saluran televisyen yang lain.

Kita perlu bijak memilih yang mana baik dan yang mana buruk untuk ditonton 
dan dijadikan ikutan. Kita juga perlu memainkan peranan dengan menunjukkan 
jalan kepada generasi muda dan juga anak-anak bagi memilih rancangan-
rancangan positif yang mencerna minda dan dapat menyumbang kepada ilmu 
pengetahuan yang berguna.

Sama ada baik atau buruk imej Islam itu itu bergantung kepada peribadi 
seseorang Muslim. Benar kata Al-Shoubrawi bahawa Lembah Keramat 
janganlah hanya memikirkan kepentingan pihaknya sahaja tanpa mengambil 
kita kepentingan orang lain yang menjadikan ART dan Al-Jazira sebagai 
saluran ilmu.

Saya juga telah mempelajari bahasa Arab selama tujuh tahun ketika di bangku 
sekolah dan telah meninggalkan zaman persekolahan kira-kira enam tahun 
yang lalu. Kerana sayang dan cintakan bahasa al-Quran ini, saya telah 
menyambung pengajian bahasa ini hingga ke peringkat universiti. Bahasa ini 
dituturkan dalam semua aspek merangkumi ekonomi, sosial, politik, pendidikan 
dan hiburan.

Terima kasih kepada Astro kerana telah memberi peluang kepada saya dan 
juga pencinta bahasa Arab yang lain untuk terus menghalusi kesenian dan 
keindahan bahasa ini melalui saluran ART dan Al-Jazira. _ WAN WAFA, Pulau 
Pinang. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment