Thursday, November 24, 2011

PRESIDEN AL-AZHAR SARAN KERAJAAN TUBUH INSTITUT BAHASA ARAB




 
ALOR SETAR, 24 Jan (Bernama) -- Presiden Universiti Al-Azhar Prof Dr
Ahmad Omar Hashim hari ini menyarankan supaya kerajaan Malaysia menubuhkan
sebuah institut bahasa Arab bagi persediaan para pelajar Malaysia yang akan
melanjutkan pengajian di universiti itu.
   Beliau memberi jaminan bahawa Al-Azhar bersedia untuk membantu
kerajaan, termasuk menyediakan tenaga pengajar, bagi menjayakan program itu
ke arah memantapkan penguasaan bahasa Arab di kalangan pelajar tempatan.
   Katanya, institut seumpama itu perlu memandangkan tahap penguasaan
bahasa Arab di kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti
Al-Azhar, Mesir adalah rendah dan ini mempengaruhi prestasi pelajaran
mereka.
   Dr Ahmad Omar, yang dalam rangka lawatan ke negara ini mulai 22 Jan
hingga 29 Jan ini, berkata demikian kepada pemberita selepas melawat
Institut Agama Islam Kedah Darul Aman (INSANIAH), di sini.
   INSANIAH ditubuhkan kerajaan Kedah di bawah program pengajian berkembar
dengan Universiti Al-Azhar. 
   Dr Ahmad Omar berkata institut penguasaan Arab seumpama itu telah
ditubuhkan di kebanyakan negara, termasuk Amerika Syarikat dan United
Kingdom, yang menghantar para pelajar ke Universiti Al-Azhar.
   Beliau berkata para pelajar Malaysia yang akan mengikuti pengajian di
Kaherah perlu mengikuti kursus bahasa Arab sekurang-kurangnya enam bulan
untuk menentukan mereka dapat menguasai bahasa itu dengan baik.
   Selain itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan Kedah menawarkan kursus
ijazah peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran di INSANIAH.
   Katanya, Al-Azhar bersedia menambah bilangan pensyarahnya daripada enam
sekarang kepada 10 orang.
   Pensyarah tambahan itu akan mengajar kursus fikah dan syariah. Pada
masa ini INSANIAH yang beroperasi di kampus sementara di Mergong menawarkan
kursus Syariah, Usuluddin dan bahasa Arab. 
   Dr Ahmad Omar berkata Al-Azhar juga merancang untuk membenarkan para
pelajar INSANIAH memperolehi ijazah mereka di sini dan tidak perlu lagi ke
Kaherah untuk menamatkan pengajian tahun ketiga.
   Katanya, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan
bilangan pelajar tempatan di luar negara selain menjimatkan kos. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment