Thursday, November 24, 2011

Bahasa Arab tiada kaitan pelampau




PETALING JAYA: Pengenalan Bahasa Arab sebagai mata pelajaran di sekolah
kebangsaan bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar mengenai agama Islam,
kata Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein.
  Beliau berkata, perkara itu sebenarnya tidak ada kaitan dengan ancaman
pelampau agama membabitkan sesetengah golongan di negara ini.
  "Dengan mengajar pelajar Melayu mengenali bahasa Arab, ia tidak akan
menyelesaikan masalah itu kerana yang penting ialah untuk mengajar mereka
mengenai Islam yang sebenar dan agama bukan sebagai alat politik," katanya
pada sidang media selepas menghadiri pelancaran Sidang Kemuncak Pendidikan
Malaysia 2004 di sini, semalam.
  Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada langkah kementerian
memperkenalkan pengajian Bahasa Arab di peringkat sekolah rendah bertujuan
mengelak pembabitan pelajar terhadap aktiviti pelampau agama seperti yang
pernah berlaku di kalangan rakyat negara ini yang menuntut di Pakistan.
  Sabtu lalu, kementerian itu melancarkan j-QAF yang merangkumi pelajaran
Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain yang diwajibkan kepada semua
murid beragama Islam di sekolah rendah di seluruh negara.
  Sistem yang akan bermula tahun depan itu adalah usaha kementerian untuk
memperkasakan pendidikan Islam menerusi sistem pendidikan kebangsaan.
  Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang turut ditanya cadangan
memberi kuasa rotan kepada semua guru dalam usaha menangani masalah
disiplin pelajar berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baru.
  Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan apa saja
cadangan daripada semua pihak sekiranya ia boleh dilaksanakan.
  "Kita akan kumpul semua cadangan yang diajukan sebelum membuat
keputusan," katanya.
  Mengenai pembabitan polis dalam usaha berkenaan, beliau berkata,
kementerian akan meminta bantuan mereka sekiranya masalah disiplin di
kalangan pelajar terus berleluasa terutama di luar sekolah.
  "Kita tahu polis mempunyai banyak lagi tugas berat untuk mengawal dan
mencegah kegiatan jenayah lain yang lebih serius," katanya.
  Hishammuddin berkata, sehingga kini 333 aduan mengenai masalah disiplin
pelajar diterima kementerian iaitu 193 melalui talian hotline, 124 e-mel
dan 16 melalui faksimili.
  Aduan yang diterima membabitkan 142 perbuatan salah laku, 90 mengenai
pengurusan sekolah dan 101 pandangan dan pertanyaan orang ramai.
                              (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment