Friday, November 25, 2011

Ramai pelajar Al-Azhar tidak menguasai Bahasa Arab





PULAU PINANG 15 Feb. _ Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Norraesah 
Mohamad hari ini mendedahkan hanya segelintir pelajar Malaysia yang 
menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir mampu menguasai bahasa Arab 
dengan baik.

Menurut beliau, dalam tempoh beberapa tahun lalu, daripada 6,000 
penuntut Malaysia yang belajar di universiti berkenaan, hanya 
kira-kira 300 yang boleh bertutur dan menguasai bahasa itu dengan 
baik.

Katanya, disebabkan kegagalan bertutur dalam bahasa Arab, terdapat di 
kalangan pelajar negara ini yang terpaksa mengikut rakan kuliah ketika 
membeli-belah di sekitar Kaherah bagi memudahkan komunikasi dengan 
peniaga.

``Mereka terpaksa pergi secara berkumpulan atau membawa rakan yang 
boleh bercakap dalam bahasa Arab untuk membeli barangan keperluan 
harian di pasar sebagai penterjemah antara mereka dengan pekedai.

``Dalam beberapa lawatan ke universiti itu, saya mendapati daripada 
seramai enam pelajar Malaysia yang pergi membeli barang di kedai atau 
pasar, hanya seorang yang boleh bertutur dalam bahasa Arab,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Pelajar 
Cemerlang UPSR 2002 dan bantuan kepada pelajar miskin anjuran Sekolah 
Kebangsaan Bayan Lepan di sini.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment